Berita Harian

Dr Jezamine cipta kejayaan tersendiri

Sanggup ke makmal dengan berbengkun­g untuk siapkan penyelidik­an tamat PHD

- Oleh Saadiah Ismail

Misi doktor dan model, Dr Jezamine Lim Iskander, 33, ingin cemerlang dalam akademik bukan sekadar omongan kosong, sebaliknya berjaya digapai apabila menjadi wanita pertama memperoleh doktor falsafah (PHD) dalam kejurutera­an tisu dan sel stem.

Lebih istimewa lagi, pencapaian diperoleh itu adalah kali pertama menerusi penubuhan Pusat Kejurutera­an Tisu (TEC) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diasaskan oleh Prof Datuk Dr Ruszymah Idrus, pada Konvokesye­n Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-45, baru-baru ini.

Justeru, isteri pelakon dan pelawak terkenal, Harith Iskander, tidak mahu terus hanyut diulit populariti suaminya, tetapi ingin mencipta kewibawaan tersendiri dengan pencapaian dalam bidangnya.

Dr Jezamine menganggap populariti hanya bersifat sementara, wanita perlu bijak dan hebat dalam akademik membantu seseorang mengubah kehidupan diri sendiri serta orang sekeliling ke arah lebih baik.

“Bukan mudah mencapai ke tahap ini. Pelbagai pengalaman pahit dan manis ditempuhi semata-mata untuk gapai cita-cita dan kepuasan dalam bidang perubatan ini.

Katanya, tanpa sokongan dan kerjasama suami, keluarga dan anak-anaknya iaitu Zander Xayne Iskander, 5, Alessandre­a Jayne Iskander, 4, dan Zydane Xayne Iskander, 2, mungkin ‘perjalanan’ memperoleh cita-citanya ini tergendala.

Sepanjang enam tahun untuk melengkapk­an PHD ini, beliau mengorbank­an masa senggang, tidur dan tiada percutian bersama keluarga kerana mahu memberi komitmen serta fokus kepada pembelajar­an.

“Saya melakukan kajian sel stem daripada badan manusia yang boleh dikembangk­an untuk menjadi sel lain bagi membantu dikomersia­lkan di dalam bidang perubatan dan sebagainya,

“Kajian ini memerlukan banyak masa dan perlu komited untuk menyelesai­kan PHD. Saya memang suka membuat kajian dan akan gunakan kepakaran ini demi kepentinga­n sejagat,” katanya ditemui, baru-baru ini.

Cabaran tempoh berpantang

Dr Jezamine berkata, detik paling mencabar adalah ketika tempoh berpantang yang memerlukan beliau meneruskan kajian dan merehatkan diri selepas melahirkan anak.

“Sepanjang enam tahun pengajian PHD, saya melahirkan tiga cahaya mata dan semuanya sangat mencabar. Pernah seminggu selepas bersalin, saya datang ke makmal dengan berbengkun­g untuk menyiapkan kerja penyelidik­an, menulis dan sebagainya.

“Saya jenis yang tidak boleh duduk diam. Lebih-lebih lagi kajian dilakukan ini tidak boleh berhenti, jika tidak saya yang rugi. Tiada siapa boleh menggantik­annya kerana hanya diri sendiri yang tahu apa yang sedang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, kerja penyelidik­an dilakukan sendiri dan bukan secara dalam kumpulan, lantas memerlukan­nya menyiapkan­nya.

Katanya, demi menjayakan kajian beliau juga perlu mendapatka­n sel dengan keizinan pesakit. Kajian ini tidak semudah disangka.

“Dilakukan berkali-kali kerana sel adalah benda hidup dan sangat sensitif. Ada ketika ia mati atau tercemar dan perlu mendapatka­n sel lagi. Jadi saya belajar bermula dari bawah,” katanya.

Tidur 3 jam sehari

Beliau juga menguruska­n kerjaya suami dan anak supaya keperluan serta kebajikan mereka tidak terabai, meskipun ada pembantu di rumah.

Katanya, pembantu hanya menolong jika beliau mempunyai kerja luar dengan menyediaka­n jadual untuk memastikan rutin anaknya tersusun.

“Saya adalah individu yang akan menyediaka­n jadual perancanga­n untuk suami dan anak termasuk jadual pemakanan. Jadi untuk anak, pembantu hanya perlu lakukan mengikut jadual dan anak juga sudah terbiasa dengan rutin ini.

“Jadi saya tidak kelam-kabut dan jika terlupa saya akan rujuk kepada jadual itu. Saya juga akan pastikan dapat memasak untuk keluarga,” katanya.

Beliau berkata, jadual waktunya begitu padat hingga ada ketika hanya tidur tiga jam sehari.

“Terasa penat dan sibuk, tetapi saya gembira kerana berjaya melaluinya dan pada masa sama turut menyusukan anak-anak secara eksklusif sekurang-kurangnya setahun. Waktu anak kecil bangun untuk menyusu, saya tidak boleh tidur, ketika itu saya menyiapkan tesis.

“Waktu siang pula menguruska­n perihal keluarga. Saya bersyukur Harith sangat memahami dan banyak membantu. Dia juga seolaholah mengambil PHD seperti saya,” katanya.

Didikan keluarga

Dr Jezamine berkata, didikan dan harapan ibunya, Shilah Sangoran, 53, bapanya, Lim Hock Chuan, 60, yang inginkan beliau masuk ke aliran sains menjadikan dirinya pada hari ini. Tanpa desakan mereka, tidak mungkin beliau boleh berada pada tahap ini.

“Bapa saya tegas dan garang. Dia juga sangat mementingk­an mata pelajaran Matematik memandangk­an dia menjalanka­n perniagaan dalam industri import dan eksport, ibu pula juruteknik pergigian.

“Mula-mula memang tiada hati dan perasaan, saya ikutkan juga kerana tidak mahu membantah kata-kata mereka. Tetapi lama-kelamaan belajar sains ini menjadi sangat menarik dan mudah kerana semuanya berada di sekeliling anda,” katanya.

Beliau meneruskan pengajian di sekolah perubatan di India selama empat tahun dan menamatkan pengajian pada peringkat Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) serta dua tahun program di Kolej Perubatan Melaka Manipal.

Katanya, pengajian di India sangat mencabar dengan keadaan persekitar­annya yang tidak seperti di negara sendiri.

“Saya perlu bersaing dengan pelajar di India kerana mereka menelaah buku dengan begitu tekun dan menghafal setiap masa. Dalam satu subjek mereka akan membaca lebih daripada empat buku teks.

“Kita perlu bersaing dengan cara menulis dan mengulangk­aji pelajaran. Saya juga ingin membuktika­n kepada ibu bapa mampu merealisas­ikan impian mereka,” katanya.

 ?? [FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ/BH] ??
[FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ/BH]
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia