Berita Harian

Pendirian tegas tak jejas hubungan dengan AS

-

Kuala Lumpur: Pendirian Malaysia yang berbeza dalam isu pengiktira­fan Baitulmaqd­is sebagai ibu kota Israel dengan hubungan dagangan dengan Amerika Syarikat (AS), adalah amalan biasa negara berdaulat yang sudah diamalkan sejak negara merdeka.

Justeru, tidak perlu mana-mana pihak mempertika­ikan apa yang sedang dilakukan kerajaan berhubung hubungan diplomatik­nya dengan AS ketika ini, berikutan ketegasan Malaysia menolak dan mengutuk tindakan Presiden Donald Trump mengiktira­f Baitulmaqd­is sebagai ibu kota Israel.

Ketua Kluster Politik, Keselamata­n dan Hal Ehwal Antarabang­sa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata kita perlu bijak membezakan antara hubungan diplomatik dan hubungan perdaganga­n dan ekonomi dengan AS dengan mana-mana isu politik antarabang­sa.

Katanya, pendirian Malaysia itu bukan kali pertama berlaku yang membabitka­n AS atau dengan mana-mana negara lain.

“Sebelum ini di bawah kepemimpin­an terdahulu, termasuk ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pendirian yang sama juga diambil.

“Kita bukannya negara yang mahu memusuhi negara lain yang berbeza pendapat dengan kita.

“Dasar Malaysia berhubung diplomatik ini sebenarnya jelas malah kita sentiasa mahu berbaik-baik dengan negara lain.

“Pada zaman Dr Mahathir yang dilihat sebagai zaman ‘tidak mempunyai hubungan yang baik dengan AS’ pun, beliau masih meneruskan hubungan dagangan dan menggalakk­an pelabur kedua-dua negara,” katanya kepada BH.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia tidak wajar menyekat pelabur dari AS walaupun membuat pendirian menolak dan mengutuk tindakan Presiden Donald Trump mengiktira­f Baitulmaqd­is sebagai ibu kota Israel.

Katanya, negara perlu membezakan antara hubungan yang menguntung­kan dengan sikap pentadbira­n AS yang tidak selaras dengan pendirian Malaysia.

Mohamed Mustafa berkata, negara lain juga mempraktik­kan apa yang Malaysia lakukan membabitka­n hubungan yang menguntung­kan tidak sama sekali menyekat pendirian mereka dalam isu politik antarabang­sa yang lain.

Beliau berkata, AS sendiri tahu Malaysia lantang dalam isu Pales- tin kerana ia memang sudah lama diperjuang­kan dan negara kuasa besar itu tidak menyekat hubungan dagang dan pelaburan Malaysia masuk ke negara berkenaan.

“Kita perlu bijak merencanak­an hubungan diplomatik dengan negara luar di samping ketegasan dalam pendirian politik antarabang­sa.

Serlah kemampuan negara

“Ini akan menyerlahk­an lagi kematangan dan kemampuan Malaysia sebagai negara berdaulat,” katanya.

Sementara itu, penganalis­is politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, berkata ketegasan Malaysia dalam isu Baitulmaqd­is dan dalam masa yang sama tidak menolak pelaburan AS adalah amalan dasar luar yang pragmatik dan sudah lama dilaksanak­an.

Katanya, Malaysia memberikan tekanan kepada Trump hanya dalam isu Baitulmaqd­is, tetapi tidak memudaratk­an kesejahter­aan negara.

“Umpamanya isu tuntutan Laut China Selatan oleh Beijing, Kuala Lumpur masih mengambil pendekatan pragmatik berbaik dengan China kerana memelihara hubungan ekonomi.

“Kesan dari strategi ini hubungan ekonomi kedua dua negara terurus dengan baik dan rundingan mengenai tuntutan bertindih juga berjalan dengan baik.

“Perlu dihayati jika mendepani kuasa besar seperti AS dan China kita sebagai negara kecil perlu bertindak secara rasional walaupun perlakuan kuasa besar itu agak melampaui batas,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia