Berita Harian

Aktiviti korek pasir jejas pendapatan 857 nelayan

Kegiatan masih berterusan walaupun diarah henti Mac lalu

- Oleh Norzamira Che Noh

Seramai 857 nelayan di daerah ini mendakwa kehilangan separuh hasil tangkapan yang menjadi sumber pendapatan berikutan kerja pengorekan pasir berdekatan pantai Morib di sini.

Kerja mengorek pasir itu dilakukan secara melampau sejak 2014 dan berlarutan sehingga kini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Langat (PNKKL), Mohd Jaman Haris, berkata pihaknya difahamkan sebelum ini operasi mengorek pasir mendapat lesen dan selepas beberapa aduan dibuat, pelombong pasir berkenaan diarah menghentik­an operasi pada Mac lalu.

“Walaupun sudah tidak dibenarkan mengorek pasir, kami mengesan masih ada kegiatan berkenaan yang dilakukan tanpa pemantauan di sekitar perairan Kuala Langat,” katanya kepada pemberita di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Langat, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Jaman berkata, pendapatan nelayan terjejas berikutan sumber maritim semakin musnah dan kawasan tangkapan mengecil.

Jaring rosak kena sedut

“Kebanyakan nelayan di daerah ini menangkap ikan menggunaka­n kaedah pukat hanyut dan sering kali alat tangkapan seperti jaring rosak akibat disedut kapal pengorek,” katanya.

Beliau berharap pihak bertanggun­gjawab melakukan tindakan sepatutnya bagi menangani isu berkenaan.

Katanya, pihak berkuasa perlu turun padang dan melihat aktiviti yang dilakukan tanpa kebenaran itu agar nasib nelayan terbela.

“Jika betul kerja pengorekan pasir itu dilakukan secara haram, kerajaan juga kerugian kerana hasil negara dicuri tanpa pengetahua­n mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia