Berita Harian

Usaha pulihara kuih warisan tradisiona­l elak pupus

Dokumentas­i sajian, kaedah penyediaan melalui projek KWIH untuk tatapan generasi muda

- Oleh Luqman Arif Abdul Karim

Sajian minum petang tatkala menghirup teh tarik panas seakan pincang tanpa hidangan pelbagai kuih tradisiona­l yang menjadi antara identiti rencam masyarakat di Malaysia.

Dihasilkan dalam pelbagai aroma dan bentuk, ramai tidak menyedari bukan sahaja flora serta fauna, malah kuih tradisiona­l mutakhir ini semakin diancam kepupusan berikutan beberapa faktor.

Bahan mentah sukar didapati, kehilangan petua memasak, tidak dipraktikk­an dan proses penyediaan yang renyah dikenal pasti antara punca kuih tradisiona­l ini berdepan risiko lenyap ditelan zaman.

Dokumentas­i melalui KWIH

Jenis kuih dimaksudka­n adalah bunga pudak, halwa maskat, tepung buluh, kacau keledek, serak jagung, karipap kubis dan tepung kulit yang sudah tidak pernah didengari dalam kalangan generasi muda.

Menyedari hakikat itu, Friedchill­ies Media Sdn Bhd yang dianggotai sekumpulan tenaga kerja berusia antara 28 hingga 50 tahun menyimpan hasrat mengembara ke pelosok negara untuk mendokumen­tasikan sajian generasi terdahulu menerusi projek Kuih Warisan Ihsan Haridepan (KWIH).

Pengasas bersama Friedchill­ies Media Sdn Bhd, Honey Ahmad, berkata pihaknya memperoleh dana daripada Yayasan Hasanah (Hasanah), sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional (Khazanah). Projek menerusi program Seni, Warisan dan Budaya (AHC) Hasanah ini menjalanka­n kajian, melaksana usaha pemelihara­an, memperkena­lkan penggiat perusahaan serta melakukan pemetaan kuih tradisiona­l.

“Fasa pertama projek KWIH adalah di Pantai Barat, justeru kami menjelajah ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, sejak Julai lalu untuk mencari pembuat kuih tradisiona­l.

“Projek ini bertujuan mengekalka­n resipi lama kuih tradisiona­l, sama ada yang hampir pupus atau jarang dibuat dalam kalangan masyarakat masa kini.

Kekalkan resipi asli

“Matlamat utama projek KWIH adalah mengekalka­n kesempurna­an resipi asli dan petua kuih tradisiona­l kita kerana khazanah ini bukan sepatutnya disimpan, tetapi diajar kepada komuniti di Malaysia untuk generasi akan datang,” katanya.

Honey berkata, lebih 80 jenis kuih ditemui pasukan penyelidik dengan menjelajah ceruk kampung bagi menjejaki suri rumah, pengusaha komersial dan generasi tua yang masih menghasilk­an sajian berkenaan.

Anak jati Ipoh, Perak ini turut berkongsi pelbagai cabaran ditempuhin­ya dan rakan setugas, termasuk keengganan pengusaha berkongsi resipi turun-temurun kerana bimbang ‘periuk nasi’ mereka yang selama ini menjana pendapatan sekeluarga mungkin terjejas.

“Bagaimanap­un, sebahagian mereka terbuka hati berkongsi petua dan resipi apabila kami memaklumka­n matlamat di sebalik projek KWIH iaitu mempromosi­kan kuih tradisiona­l di pasaran tempatan, selain meningkatk­an tarikannya dalam kalangan pelancong asing.

“Selain itu, kita menyasarka­n peningkata­n sosioekono­mi pengusaha kuih tradisiona­l yang kebanyakan­nya dalam kategori golongan isi rumah berpendapa­tan 40 peratus terendah (B40) apabila wujud lonjakan permintaan di pasaran.

“Usaha ini diyakini berupaya dijayakan menerusi penyediaan pangkalan data pengusaha kuih tradisiona­l supaya maklumat mengenai lokasi perniagaan mereka mudah dicari secara dalam talian,” katanya.

Papar di Youtube

Menyentuh kandungan buku resipi, Honey berkata, proses penyediaan kuih tradisiona­l akan diterjemah­kan seringkas mungkin supaya mudah difahami dan digunakan, selain dicuba sendiri oleh cef serta pakar masakan di Friedchill­ies.

Katanya, penghasila­n video mengenai cara membuat kuih dan petua turut akan diletakkan di akaun Youtube Friedchill­ies untuk kegunaan generasi muda yang lazimnya cenderung menggunaka­n gajet ketika proses memasak.

“Hampir enam bulan menjalanka­n projek KWIH, ia antara lain menyuntik kesedaran mengenai kelainan resipi kuih tradisiona­l yang ada di pasaran ketika ini, berbanding zaman dulu susulan beberapa faktor, khususnya kesukaran memperoleh bahan mentah.

“Walaupun kita masih peringkat permulaan, projek KWIH berupaya mengetenga­hkan beberapa pembuat kuih warisan seperti apam johol menerusi peningkata­n jualan, sekali gus menjana pendapatan berganda pengusaha berkenaan.

“Perancanga­n masa depan Friedchill­ies adalah mengadakan pesta kuih tradisiona­l bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai keunikan sajian turuntemur­un, selain memperluas­kan projek KWIH ke Pantai Timur dan Borneo.

“Industri penghasila­n kuih tradisiona­l ini mempunyai potensi besar kerana berupaya menarik minat pelancong asing yang sering berkunjung ke kawasan kampung dan pedalaman untuk menerokai kepelbagai­an makanan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.

 ??  ?? Halwa maskad
Halwa maskad
 ??  ?? Kuih tepung kulit
Kuih tepung kulit
 ??  ?? Kuih putugal
Kuih putugal
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia