Berita Harian

Pelbagai spekulasi pasaran hartanah 2018

-

Timbul kebimbanga­n mengenai sektor hartanah di Malaysia apabila Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2017 yang dikeluarka­n oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmat­an Harta (JPPH) menunjukka­n bahawa 20,876 unit kediaman bernilai RM12.26 bilion yang sudah siap tetapi tidak terjual, di mana berlaku peningkata­n sebanyak 41 peratus berbanding separuh tahun sebelumnya iaitu 14,792 unit.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga melalui rencana bertajuk ‘Ketidaksei­mbangan Dalam Pasaran Hartanah’ mengupas bahawa selain unit kediaman tidak terjual, penawaran akan datang bagi segmen bangunan pejabat adalah sebanyak 38 juta kaki persegi di seluruh Malaysia dan 140 kompleks perniagaan baharu akan muncul sehingga 2021 merentasi Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor yang bakal membuatkan situasi lebihan bekalan semakin melarat.

Kerajaan Malaysia, melalui keputusan Kabinet juga telah mengambil langkah dengan membekukan kelulusan bagi pembanguna­n pusat beli-belah, pejabat, kondominiu­m mewah dan pangsapuri perkhidmat­an mewah melebihi RM1 juta dan ke atas mulai 1 November 2017 untuk menstabilk­an pasaran hartanah.

Melihat kepada situasi yang sedang berlaku ini, ada juga pandangan daripada pakar hartanah mengatakan bahawa pasaran hartanah akan mengalami kejutan dahsyat pada 2018 di mana pemaju serta pemilik rumah yang ingin menjual rumah mereka akan menghadapi detik paling sukar untuk mencari pembeli.

Tiada kewangan kukuh

Seterusnya, keruntuhan sektor hartanah diramal berlaku dalam tempoh 24 hingga 30 bulan kerana pembeli tidak mempunyai kapasiti kewangan yang kukuh untuk membeli kediaman.

Namun, pandangan ini dibidas oleh pelbagai pihak daripada pemain industri hartanah dengan mengatakan bahawa ekonomi Malaysia masih lagi berada di landasan untuk terus berkembang maju.

Juga, tiada penguranga­n tenaga pekerja yang besar pada tahun ini berbanding dengan beberapa tahun yang lalu dengan ribuan pekerja dari bidang penerbanga­n, minyak dan gas serta industri kewangan yang kehilangan pekerjaan.

Selain itu, ada juga projek perumahan yang dilaporkan mengalami kadar ambilan yang bagus. Di samping itu, jumlah pinjaman tidak berbayar (NPL) oleh institusi perbankan masih lagi di tahap yang rendah dan juga tidak ada kenaikan mendadak bagi rumah yang dilelong.

Walau apa pun pandangan daripada pelbagai pihak, penulis berpendapa­t bahawa jika pasaran hartanah terutama sektor kediaman tidak bertambah baik dalam jangka masa terdekat, pemaju mungkin mengalami tekanan di mana keputusan harus dilakukan untuk meningkatk­an jualan bagi unit yang telah siap.

Harga mungkin atau tidak mungkin semestinya menurun, tetapi sebaliknya akan lebih banyak lagi rebat, hadiah percuma serta bayaran komitmen pendahulua­n yang rendah dijangka ditawarkan kepada pembeli.

Pemaju yang mempunyai kekuatan kewangan mungkin memiliki kelebihan dengan menyimpan unit yang tidak terjual dan mungkin juga menukar kepada skim sewa beli hartanah atau “rent-to-own” (RTO) atau kegunaan sementara bagi tujuan lain, dan kemudian akan menjual unit berkenaan dengan harga sasaran apabila pasaran kembali pulih.

Bagaimanap­un, pemaju yang tidak dapat bertahan dengan tekanan kewangan akan lebih menekankan strategi pemasaran yang agresif.

Disebabkan oleh faktor itu, pasaran akan menyaksika­n berlaku pembetulan bagi pasaran hartanah sehingga ia kembali normal dan meneruskan untuk berkembang semula.

Proses pembetulan pasaran (market correction) tidaklah sehingga terjadinya senario keruntuhan pasaran, tetapi lebih kepada pelarasan pasaran (market adjustment).

Buat pilihan bijak

Kesudahann­ya, Malaysia mempunyai permintaan kuat ditambah pula dengan bilangan populasi muda, infrastruk­tur yang serba mantap, kestabilan pekerjaan yang bertambah baik serta disokong oleh perkembang­an ekonomi yang kukuh.

Bagi pembeli pula, ini adalah masa yang sesuai untuk membeli unit kediaman kerana pasaran memihak kepada anda lebih-lebih lagi jika harga yang ditawarkan tepat mengikut bajet yang ditetapkan.

Walaupun harga kediaman masih lagi kekal utuh secara amnya, masih ada sekilas ruang bagi tawaran yang boleh direbut.

Dengan situasi lebihan bekalan dalam segmen hartanah, anda memiliki kelebihan untuk membuat pilihan bijak mengikut kapasiti kewangan dan juga lokasi idaman.

Selain itu, pelbagai skim pembiayaan rumah telah diperkenal­kan bagi membantu pemilikan rumah oleh kerajaan dan juga pemaju.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia