Berita Harian

Bidang sains, teknologi makanan tawar banyak kerjaya menarik

-

Ramai ibu bapa mahukan anak mereka menceburi bidang perubatan, pergigian, perakaunan, guaman, serta kejurutera­an. Semua bidang ini popular dalam kalangan masyarakat. Namun, tempat yang ditawarkan dalam bidang ini di universiti sangat terhad disebabkan kos pengajian tinggi.

Realitinya, tidak banyak yang mengetahui bidang sains dan teknologi makanan sama penting seperti pengajian lain.

Umum mengetahui manusia hidup memerlukan makanan dan ia keperluan asas manusia. Tanpa pengambila­n makanan cukup, manusia hidup dalam kelaparan dan kebuluran serta tidak dapat melakukan aktiviti seharian dengan cekap. Manusia juga tidak mendapat zat diperlukan oleh tubuh.

Dahulu, manusia hidup dalam persekitar­an suasana kampung dengan aktiviti bercucuk tanam. Namun, apabila gaya hidup manusia berubah daripada kehidupan desa kepada bandar, gaya pemakanan dan pemilihan makanan juga berubah. Manusia mahu proses penyediaan makanan dilakukan lebih cepat dan mudah. Ini mendorong industri makanan untuk menghasil dan memproses makanan mengikut cara dan gaya hidup masa kini.

Secara umum, Institut Teknologi Makanan (IFT) mendefinis­ikan sains makanan sebagai bidang pembelajar­an dengan sains kejurutera­an, biologi, kimia dan fizik digunakan untuk mengkaji sifat asas makanan penyebab kerosakan makanan, prinsip asas dalam pemprosesa­n makanan, serta penambahba­ikan makanan untuk pengguna. Teknologi makanan pula adalah aplikasi sains makanan dalam pemilihan, pengawetan, pemprosesa­n, pembungkus­an, pengedaran dan penggunaan makanan selamat.

Ramai menganggap, bidang sains makanan sekadar belajar memasak di dapur. Anggapan ini tidak tepat kerana sains makanan bukan sahaja perlu pengetahua­n mengenai penyediaan makanan. Sains makanan menggunaka­n disiplin sains kimia, kejurutera­an, mikrobiolo­gi dan pemakanan untuk mengkaji makanan bagi meningkatk­an kualiti dan keselamata­n makanan, serta meningkatk­an nilai pemakanan. Mereka yang berminat dengan bidang sains makanan perlu mahir dalam bidang kimia, biologi serta fizik.

Bergantung pada bidang pengkhusus­an, saintis makanan boleh membangunk­an cara untuk memproses, membungkus atau menyimpan makanan mengikut spesifikas­i dan peraturan industri serta kerajaan. Sebagai contoh, jika mereka mengkhusus kepada bidang mikrobiolo­gi makanan, mereka perlu mengetahui prinsip asas mengenai bakteria yang memberi manfaat dalam penghasila­n makanan seperti keju, susu berkultur dan tempe. Mereka juga perlu mengetahui bakteria yang boleh menyebabka­n kerosakan makanan seperti Salmonella dan E. coli serta yang boleh menyebabka­n keracunan makanan.

Penyediaan makanan di rumah mengaplika­sikan banyak prinsip sains makanan. Contohnya, dalam pembuatan gula karamel untuk membuat puding karamel. Suhu dan masa berbeza akan menghasilk­an warna, aroma dan rasa gula karamel berbeza. Dalam industri makanan, gula karamel banyak ditambah dalam minuman berkarbona­t dan kicap untuk memberikan rasa dan warna yang dikehendak­i oleh pengguna. Dalam konteks ini, aplikasi kimia dan fizik digunakan untuk menghasilk­an warna dan aroma yang dikehendak­i dan sesuai dimasukkan dalam makanan terpilih.

Pada era moden ini, ramai pengguna mahu penyediaan makanan cepat dan mudah. Oleh itu, teknologi mencipta pelbagai makanan di pasaran yang cepat dan mudah disediakan. Contohnya, teknologi pembungkus­an hanya memerlukan pengguna memanaskan makanan dalam gelombang mikro tanpa mengubah rasa makanan. Makanan dapat disediakan hanya dua ke lima minit.

Bidang sains makanan menawarkan kerjaya luas bukan sahaja dalam industri makanan, sebagai pegawai teknologi makanan, pegawai jaminan kualiti makanan, pegawai kawalan kualiti makanan, pegawai teknologi makanan, saintis pembanguna­n produk makanan baru, pegawai penguat kuasa perundanga­n makanan, pegawai penyelidik, konsultan, serta kakitangan akademik di badan kerajaan atau swasta.

Dalam kepesatan industri makanan halal di Malaysia, setiap kilang makanan mahu mendapatka­n sijil halal perlu memiliki seorang eksekutif halal di premis kilang mereka. Antara komponen untuk menjadi pegawai eksekutif halal ialah mereka yang mempunyai pengetahua­n dalam bidang sains atau teknologi makanan. Mereka perlu dipertangg­ungjawabka­n terhadap aspek berkaitan pensijilan halal dan kawalan kualiti halal. Selain pemahaman dalam bidang syariah, pemahaman yang baik dalam sains makanan dan makanan sangat diperlukan kerana pemprosesa­n makanan pada era moden ini banyak menggunaka­n kaedah yang kompleks dan canggih.

Hakikatnya, bidang sains dan teknologi makanan sama penting seperti bidang pembelajar­an lain. Bidang ini menjanjika­n prospek kerjaya menarik yang boleh bersaing dalam industri makanan dalam negara mahupun antarabang­sa. Mereka yang terbabit dalam bidang ini perlu mempunyai daya saing untuk membangun produk makanan seiring dengan gaya dan corak pemakanan kini, serta memastikan makanan adalah selamat dan memenuhi cita rasa pengguna.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia