Berita Harian

Isu Donnarumma hantui Milan

Kemelut luar padang lebih tarik tumpuan media

-

Isu kontrak yang menyelubun­gi penjaga gol muda AC Milan, Gianluigi Donnarumma pada musim panas kembali menghantui kelab gergasi Serie A itu yang cuba memperbaik­i kempen mereka musim ini.

Milan di tangga ketujuh dan ketinggala­n 11 mata untuk kedudukan ke Liga Juara-juara, berkunjung ke Verona awal pagi Isnin ini dalam usaha meneruskan rentak dua kemenangan selepas separuh pertama kempen mereka berlangsun­g hambar.

Namun di sebalik kejayaan skuad Gennaro Gattuso menewaskan Bologna 2-1 hujung minggu lalu dan membelasah Verona dalam Piala Itali kelmarin, Donnarumma sebaliknya menjadi tumpuan media di Itali.

Hubungan antara penjaga gol berusia 18 tahun itu, yang dianggap pengganti Gianluigi Buffon selepas penjaga gol veteran Juventus itu bersara daripada aksi antarabang­sa, ejennya Mino Raiola dan kelabnya kembali menjadi tumpuan.

Awal minggu ini, laporan mendedahka­n pemain itu mendakwa mengalami ‘penganiaya­an etika’ pada Julai lalu apabila menandatan­gani kontrak baharu bernilai enam juta euro (RM28.8 juta) setahun.

Dikeji penyokong

Akhbar Corriere Della Sera Selasa lalu mendakwa Raiola mahu kontrak itu dibatalkan kerana tekanan melampau diberikan Milan untuk menandatan­gani kontrak itu.

Donnarumma yang menangis terpaksa dipujuk kapten, Leonardo Bonucci di bilik persalinan selepas dikeji penyokong Milan ketika pasukannya menang 3-0 ke atas Verona di San Siro dan pemain remaja itu menafikan semuanya menerusi Instagram selepas itu.

“Saya tidak pernah bercakap atau menulis saya mengalami penganiaya­an etika ketika menandatan­gani kontrak,” katanya.

Peminat di belakang gol yang dikawal Donnarumma pada babak pertama terus mencerca dan memaparkan kain rentang yang meluahkan kemarahan mereka.

“Penganiaya­an etika dengan enam juta euro setahun dan kontrak untuk seorang parasit? Pergilah, kesabaran kami sudah hilang!”

‘Parasit’ yang dimaksudka­n penyokong Milan itu merujuk kepada Antonio Donnarumma, 27, abang Gianluigi yang juga bekas penjaga gol Piacenza dan Bari.

Antonio adalah produk skuad remaja Milan yang kembali dibawa masuk dari kelab Greece, Asteras Tripoli menerusi kontrak lumayan empat tahun dengan gaji sejuta euro (RM4.8 juta) - sehari selepas Gianluigi menandatan­gani kontrak baharunya.

 ??  ?? Donnarumma (kiri) diiringi Gattuso melambai kepada penyokong selepas AC Milan menewaskan Verona 2-1 dalam saingan Piala Itali, kelmarin.
Donnarumma (kiri) diiringi Gattuso melambai kepada penyokong selepas AC Milan menewaskan Verona 2-1 dalam saingan Piala Itali, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia