Berita Harian

Sukar Mourinho cabar City di persada

-

Sejurus selepas Manchester United mencatat kemenangan 1-0 ke atas Bournemout­h awal pagi Khamis lalu, Jose Mourinho berkata jika saingan kejuaraan liga sudah berakhir, dia akan bercuti ke Brazil atau Los Angeles keesokan harinya.

Selepas itu, dengan pantas dan penuh yakin dia menyambung lagi, betapa pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini hanya akan berakhir pada Mei dan bukan dalam masa terdekat ini.

“Kami akan berdepan perlawanan satu persatu. Dan saya percaya semua pasukan di belakang kami, di tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam juga akan terus mencuba,” kata pengendali United itu seperti dilaporkan ketika mengulas peluang pasukan lain mengejar Manchester City dalam merebut kejuaraan musim ini selepas kelab itu selesa mengunggul­i liga dengan himpunan 49 mata.

Selepas 17 perlawanan - yang belum sampai pun separuh saingan - pasukan bimbingan Pep Guardiola itu berjaya menjarakka­n kedudukan dengan pesaing terdekat, United di tangga kedua dengan kelebihan 11 mata.

Dalam perjalanan mencatat pencapaian cemerlang itu, The Citizens turut berjaya mencipta rekod EPL apabila mengharung­i 17 perlawanan tanpa kalah dengan terkini, ketika membenam Swansea City 4-0 awal Khamis lalu.

Apakah City mampu untuk terus mempertaha­nkan kelebihan mata itu sehingga Mei? Atau adakah United, atau penyandang juara, Chelsea serta Liverpool, Arsenal dan Tottenham Hotspur sudah benar-benar mengangkat bendera putih?

Arsenal, Liverpool berentap di Boxing Day

Inilah yang menarik untuk kita saksikan apabila saingan fasa kedua EPL bermula selepas sambutan Krismas atau lebih dikenali Boxing Day dengan Arsenal dan Liverpool akan turut membuat perhitunga­n pada 23 Disember atau aksi ke-19.

Apapun, bagi aksi minggu ini Guardiola harus menyelesai­kan dulu tugasan berat di laman sendiri apabila menyambut kunjungan Spurs - bagi perlawanan tumpuan minggu ini.

Selepas mengejutka­n United di Old Trafford, 2-1 minggu lalu, The Citizens menerima satu lagi ujian besar dalam usaha terus melebarkan jurang 11 mata ketika ini. Namun dengan kelas tersendiri, mereka tetap jadi pilihan memenangi aksi ini.

Penulis melihat Guardiola sudah semakin yakin untuk menjulang City. Pengalaman musim lalu sedikit sebanyak membantuny­a tatkala reputasi cemerlang di Liga Sepanyol dan Jerman sebelum ini menjadi kelebihan buat dirinya.

Bagi Mauricio Pochettino pula, pencapaian musim lalu harus menjadi motivasi apabila bertandang ke Etihad, jam 1.30 pagi esok waktu Malaysia. Mereka berjaya mengikat City, 2-2 di situ sebelum mengaibkan lawannya itu, 2-0 di White Hart Lane.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Spurs sebagai pasukan pertama berjaya meruntuhka­n keegoan City dalam penampilan pertama Guardiola pada kancah EPL.

Tidak cukup dengan itu, musim ini mereka membuktika­n reputasi tinggi apabila mudah menjinakka­n Real Madrid 3-1, Liverpool 4-1 dan Borussia Dortmund 3-1.

Dengan rentak padu keduadua pasukan gergasi EPL, penulis percaya saingan di Etihad ini pasti sengit dengan majoriti pesaing lain tentunya mengharapk­an barisan Guardiola akan tumbang.

Ujian getir

Sementara itu, dalam aksi lain, Chelsea dijangka berdepan ujian getir apabila menyambut kunjungan Southampto­n. Antonio Conte harus menyediaka­n strategi terbaik untuk mengelak terlepas tiga mata. Liverpool pula diramal tiada masalah mengenepik­an Bournemout­h tatkala penyokong terus mempertika­ikan strategi Jurgen Klopp susulan dua aksi terakhir The Reds berakhir seri meskipun berdepan pasukan lemah. Selamat menonton.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia