Ringgit, yuan paling berpotensi tahun depan
Kuala Lumpur: Mata wang ringgit dan yuan muncul sebagai mata wang paling berpotensi di Asia bagi pengurus dana pada ketika mereka meninjau lokasi terbaik untuk melabur pada tahun baharu.
Pemulihan eksport, peningkatan lebihan akaun semasa bagi sesetengah negara, serta persaingan dalam memburu hasil pelaburan lebih tinggi yang berterusan telah meningkatkan keyakinan terhadap mata wang berkenaan untuk terus mencatat aliran peningkatan pada tahun 2018.
Mata wang Asia naik 5.5 peratus tahun ini, prestasi terbaik sejak tahun 1998. Mata wang won Korea Selatan mendahului peningkatan keuntungan manakala ringgit menguasai kedudukan tertinggi dalam aspek pulangan keseluruhan.
Pemulihan global meluas
Pengurus Dana di Investec Asset Management Ltd Singapura, Wildfred Wee yang menyelia dana berjumlah AS$132 bilion di peringkat global, berkata pihaknya menjangka ekonomi Asia akan menunjukkan prestasi baik berikutan pemulihan global juga sedang berlaku secara meluas.
“Kami boleh jangkakan bahawa pengukuhan mata wang Asia akan kekal apabila memasuki tahun 2018,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat ju ga risiko yang boleh berlaku. Walaupun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) minggu ini mengekalkan unjurannya bagi tiga peningkatan kadar faedah dalam tahun 2018, kecenderungan yang lebih tinggi boleh merosakkan prestasi baik kadar pertukaran di Asia.
Peningkatan mengejut dalam inflasi global atau perang yang mungkin berlaku di Semenanjung Korea juga boleh menjadi punca lain, kata pelabur yang juga memberikan unjuran baik bagi mata wang rupiah Indonesia dan rupee India.
Pelabur juga menjadi kurang yakin dengan prestasi baht Thailand dan won Korea Selatan.