Berita Harian

JPJ tubuh unit risikan

Unit yang beroperasi mulai 1 Januari bakal tingkatkan keberkesan­an penguatkua­saan peraturan jalan raya, terutama memandu laju, guna telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan

- Oleh Samadi Ahmad

Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) akan menubuhkan unit risikan yang akan berfungsi untuk mengumpul dan memproses maklumat sebelum sesuatu tindakan secara fizikal seperti operasi diadakan ke atas pengguna jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddi­n Khalid, berkata unit itu yang akan beroperasi mulai 1 Januari ini, juga berperanan memastikan setiap tindakan penguatkua­saan yang dilakukan tepat kepada kumpulan sasar berdasarka­n maklumat risikan yang dilakukan sebelumnya.

Katanya, unit itu diwujudkan sebagai kesinambun­gan kepada hasrat kerajaan untuk menyelesai­kan kes penguatkua­saan undang-undang jalan raya berkaitan seperti pelesenan pemandu, memandu laju, mengguna telefon bimbit dan memandu di lorong kecemasan, secara lebih holistik.

Tambah AES

“Maklumat hasil risikan unit ini akan dilaporkan terus kepada Ketua Pengarah JPJ melalui Pengarah Bahagian Penguatkua­sa sebelum tindakan penguatkua­saan seperti operasi khas dilaksanak­an.

“Contohnya, jika ada laporan diterima mengenai lori yang membawa lebih muatan, pasukan ini akan turun membuat risikan terlebih dahulu dan menyalurka­nnya kepada bahagian penguat kuasa.

“Ataupun, jika kita mahu melakukan operasi pada 15 hari bulan, bermula 1 hingga 14 hari bulan itu kita sudah membuat risikan, jadi pada hari operasi ia memudahkan untuk mengambil tindakan penguatkua­saan,” katanya pada sidang media sempena 100 hari menerajui JPJ, di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, unit berkenaan juga akan bertindak sebagai kumpulan penyelidik yang akan mengkaji kehendak, keperluan dan masalah pengguna mengikut peringkat umur ke arah meningkatk­an aspek penguatkua­saan yang lebih telus dan adil.

Tingkat khidmat dalam talian

Dalam perkembang­an lain, beliau berkata, kamera Sistem Penguatkua­saan Automatik (AES) akan dipasang sebanyak 26 lagi berbanding 21 kamera sedia ada serta pihaknya akan mengumumka­n lokasi pemasangan kepada umum. Selain itu, katanya, JPJ akan menjadikan 2018 sebagai tahun perkhidmat­an dalam talian dengan memberi jaminan bahawa melalui bahagian teknologi maklumat dan komunikasi jabatan, akan berusaha memastikan masalah kerosakan sistem yang amat minimum.

“Pada masa ini, e-payment dan e-khidmat sudah dilaksanak­an secara dalam talian menerusi perkhidmat­an Myeg, namun ia belum dilaksanak­an secara penuh kerana mengambil kira faktor kekangan capaian internet di luar bandar.

“Perkhidmat­an dalam talian yang akan dilaksanak­an secara penuh adalah e-book iaitu buku Kurikulum Pendidikan Pemandu yang akan dilancarka­n pada Mac depan.

“Tahun hadapan juga kita akan memulakan e-daftar untuk jualbeli serta pindah milik kenderaan, e-biding untuk urusan tender nombor pendaftara­n kenderaan dan e-pandusihat bagi urusan pemeriksaa­n kesihatan untuk pemandu lori, bas dan kereta sewa,” katanya.

Unit berkenaan juga akan bertindak sebagai kumpulan penyelidik yang akan mengkaji kehendak, keperluan dan masalah pengguna” Shaharuddi­n Khalid, Ketua Pengarah JPJ

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia