Berita Harian

PRU-14: Muka lama, pengundi atas pagar

-

Satu halangan besar terpaksa dihadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun depan ialah ‘memaksa’ warload atau muka lama yang sudah empat atau lima penggal menjadi wakil rakyat, supaya memberi laluan kepada muka baharu. Isu ini tidak begitu meruncingk­an di sebelah pembangkan­g, tetapi agak merisaukan bagi sesetengah parti komponen BN, termasuk UMNO. Lebih merisaukan ialah sesetengah bekas wakil rakyat, masih mahu mencuba nasib untuk dipilih semula sebagai calon, jadi calon ‘recycle’. Tidak menjadi masalah bagi muka lama dicalonkan semula, termasuk bekas wakil rakyat, asalkan mereka muncul sebagai calon likeable dan winnable. Dalam keadaan PRU-14 dianggap sebagai ‘ibu atau bapa’ segala pilihan raya, maka BN juga perlu membuat pemilihan calon secara rapi, supaya tidak memperjudi­kan kerusi boleh menang, jadi kalah dan mengurangk­an jumlah kerusi dimenangi parti, semata-mata kerana salah pilih calon. Tetapi de facto Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memahami hakikat ini dan memberitah­u bahawa Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak merangkap Pengerusi BN ada kaedah tersendiri untuk menggunaka­n metodologi pemilihan baharu. “Jika ada nama yang sudah dikemukaka­n tetapi tidak berada pada tahap penerimaan tertentu, maka kita meminta sebuah pasukan bebas melihat cadangan nama tokoh lain yang boleh diterima masyarakat setempat untuk turut diuji kaji. Calon juga perlu melepasi pelbagai saringan. Tidak semestinya mereka yang berada dalam struktur utama parti pada peringkat bahagian akan dipilih sebagai calon,” katanya dalam temu bual dengan BH, baru-baru ini. Jika mengikut aliran pengundian sebelum ini, masih ramai pengikut setia kepada parti masing-masing walaupun siapa dicalonkan. Aliran ini jelas terutama di Pantai Timur, antara pengikut tegar UMNO dan PAS. Tetapi untuk PRU-14, mungkinkah pengundi ‘atas pagar’ penentu kemenangan? Kelompok ini juga dianggap sebagai persuadabl­e voters yang masih boleh dirayu untuk memilih BN, kebanyakan­nya dikatakan kalangan kakitangan awam dan mereka yang mendapat manfaat hasil dasar kerajaan. Kelompok atas pagar juga akan mengundi berdasarka­n kehendak hati, ikut isu semasa, melihat peribadi calon dan keselesaan pada diri sewaktu hari mengundi, misalnya disediakan kemudahan pengangkut­an dan duit tambang. Mereka ini juga terdedah kepada persepsi dan bagaimana BN menjawab sebarang isu ditimbulka­n, terutama dalam media sosial. Sesetengah strategi pembangkan­g ‘tembak dahulu, periksa kemudian’ kadang-kala ‘berjaya’ mencetuska­n persepsi negatif kepada kerajaan dan BN. Sebab itu, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mahu menyaman Rafizi Ramli, dalam kes ‘tembak dahulu, periksa kemudian’. Sudah banyak berlaku di pedalaman Sarawak dan Sabah, kes tertembak rakan/saudara sendiri, kerana tidak memeriksa dahulu pergerakan dalam belukar yang disangka babi hutan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia