Berita Harian

Insan seni berhak dapat Datuk: Farid

Kecaman dibuat berikutan ada pihak tiada ilmu khusus adat Kesultanan Melayu Pahang

- Oleh Nik Sukry Ramli

Pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil, menyelar tindakan segelintir netizen yang mempertika­ikan penganuger­ahan gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, kepada insan seni.

Beliau berkata, kecaman itu timbul akibat ada segelintir netizen tiada ilmu atau pembelajar­an khusus mengenai adat Kesultanan Melayu Pahang.

“Siapa netizen itu (yang mengecam)? Yang memberikan penganuger­ahan itu adalah atas titah Sultan Pahang.

Lebih baik diam

“Saya berharap mereka (netizen yang mengecam) lebih baik diam,” katanya selepas Istiadat Pengurniaa­n Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, di sini, semalam.

Farid Kamil yang dianugerah­kan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, adalah antara 167 penerima darjah dan kebesaran Pahang yang disempurna­kan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Yang turut menerima DIMP adalah pelakon kelahiran Singapura, Aaron Mustapha Aziz.

Sementara itu, Aaron Aziz menganggap pengurniaa­n darjah kebesaran itu memberinya semangat untuk terus menyumbang bakti dalam aktiviti kemasyarak­atan.

Akur titah turun padang

Beliau juga akur dengan titah Tengku Abdullah sebelum ini, yang mahu melihat supaya mereka yang menerima kurniaan dari Pahang, termasuk artis turun padang membantu rakyat yang berdepan musibah seperti banjir.

“Sebelum ini pun saya memang aktif dan selalu turun padang melakukan aktiviti kemasyarak­atan di seluruh negara dan selepas ini akan lebih banyak aktiviti seumpama itu akan saya sertai.

“Ini adalah penghargaa­n terbesar bagi saya dan pastinya tanggungja­wab juga lebih berat... walaupun ada yang mempersoal­kan, saya hanya baca (komen) netizen dan mampu tersenyum saja,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia