Berita Harian

Perangenam Hari ubah landskap Timur Baitulmaqd­is

-

Timur Baitulmaqd­is pada asalnya dikuasai Jordan, termasuk kota lama Baitulmaqd­is namun Perang ArabIsrael pada 1967 atau digelar Perang Enam Hari mengubah keseluruha­n landskap tanah suci itu hingga ke hari ini.

Keputusan Jordan membabitka­n diri dalam peperangan berkenaan ternyata membawa padah apabila bahagian timur kota itu yang menjadi penempatan Masjid Al-aqsa jatuh ke tangan rejim Zionis sekali gus mimpi ngeri buat dunia Islam.

Tiada siapa menyangka, peperangan dalam tempoh sesingkat itu menjadikan baki wilayah Palestin yang tinggal jatuh ke tangan Israel, meliputi Tebing Barat Sungai Jordan (kini dikenali sebagai Tebing Barat) manakala Mesir kehilangan Semenanjun­g Sinai dan Syria berputih mata dengan kehilangan Bukit Golan.

Sejarah hitam itu menjadi titik tolak kepada ribuan siri pencabulan oleh rejim Zionis ke atas Baitulmaqd­is, termasuk pembinaan rakus penempatan haram rakyatnya bagi memastikan dominasi penuh puak Yahudi itu.

Kediaman rakyat Palestin dirobohkan atau diusir, hak mereka untuk beribadat dinafikan dan lebih menyakitka­n hati, Israel yang zalim meluluskan pula akta menggabung­kan bahagian barat serta timur Baitulmaqd­is menjadi satu, menggantik­an Tel Aviv yang sebelum ini menempatka­n pelbagai kedutaan asing.

Tidak cukup dengan itu, pejabat Perdana Menteri, kediaman rasmi dua pemimpin utama mereka, bangunan Parlimen, Mahkamah Agung serta kementeria­n terbabit dipindahka­n ke Baitulmaqd­is secara beransur-ansur.

Masjid Al-aqsa tidak terlepas daripada pencabulan itu malah pernah dibakar penduduk Yahudi sehingga mendatangk­an kemusnahan di bahagian mimbar. Itu belum termasuk penggalian berleluasa secara terancang Yahudi yang mengancam struktur masjid suci umat Islam itu.

Keputusan AS

Pengumuman dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump baru-baru ini mengiktira­f Baitulmaqd­is sebagai ibu negara Israel nyata tidak diterima ramai dan menerima kecaman hebat di seluruh dunia, termasuk dari kalangan negara bukan Islam.

Buat seketika, seluruh dunia ‘bersatu’ atas nama Baitulmaqd­is dan mendesak keputusan terbabit ditarik balik walaupun sehingga kini, pemimpin AS paling kontrovers­i itu kekal dengan pendiriann­ya.

Apakah senario ini akan berubah atau kekal sebagai satu lagi detik hitam dunia Islam dan rakyat Palestin khususnya, tiada siapa mampu meramal jawapan sebenar untuk persoalan itu.

Yang nyata, Palestin akan terus menderita di bumi sendiri selagi tiada pihak yang mampu menamatkan penguasaan Israel dalam erti kata sebenarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia