Berita Harian

PBNP mungkin tak dihukum

Lebih 2 minggu isu berlalu tanpa sebarang tindakan daripada FAM

- Oleh Devinder Singh

Selepas Pahang mencetuska­n kekecohan susulan enggan menyertai Piala AFC 2018, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nampaknya masih menunggu untuk mengenakan hukuman ke atas pasukan Liga Super itu.

Ini berikutan sudah masuk lebih dua minggu selepas Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menolak tawaran memenuhi slot kedua ke saingan terbabit, namun sekretaria­t FAM dilihat masih belum mengambil apa-apa tindakan.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini memberi amaran betapa skuad Tok Gajah itu akan berdepan hukuman seandainya enggan beraksi dalam saingan tahap kedua benua Asia berkenaan.

Namun, Pahang dilihat mampu terlepas daripada sebarang hukuman selepas tiada langsung tindakan yang diambil atas kedegilan mereka sebelum ini.

Hamidin enggan ulas

Sumber menyatakan FAM bercadang mengenakan hukuman berdasarka­n peruntukan Artikel 67 dan Artikel 69 membabitka­n ‘kegagalan mematuhi’ arahan dan keputusan yang ditetapkan.

Artikel terbabit pernah digunakan untuk mengambil tindakan ke atas pemain yang enggan beraksi buat skuad kebangsaan, terhadap pegawai, kelab ataupun ahli gabungan yang terbabit dalam acara yang tidak mendapat kelulusan badan induk itu serta mereka yang tidak mematuhi keputusan disiplin yang ditetapkan oleh FAM.

“FAM boleh mengambil tindakan ke atas Pahang, namun isunya di sini adalah bentuk hukuman yang akan dikenakan,” kata sumber ketika dihubungi semalam.

“Jika dahulu, denda dan penggantun­gan tidak melebihi setahun akan dikenakan kepada pemain atau pegawai mengikut kod disiplin yang ditetapkan.

“Namun, agak rumit jika kita hendak menghukum ahli gabungan. Bagaimana anda hendak menghukum persatuan negeri?”

Dalam masa sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin enggan mengulas mengenai isu terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia