Berita Harian

Gudi simbol kesatuan budaya Bumi Kenyalang

-

Sarikei: Tidak ramai yang tahu permainan kekek atau gudi pernah popular di Bumi Kenyalang, selain menjadi simbol kesatuan budaya di negeri ini sejak sekian lama.

Permainan itu menyerupai wau yang dimainkan di Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Pengerusi Kelab Gudi Sarikei (Kegusa), Iskandar Naziri, berkata gudi Sarawak menjadi permainan anak kampung untuk mengisi masa lapang, terutama pada hujung minggu dan waktu petang.

“Saiz gudi walaupun kecil, bukan mudah untuk dihasilkan. Proses membuatnya memerlukan kreativiti dan kehalusan. Corak pada gudi ini penting kerana setiap satunya melambangk­an budaya masyarakat Bumi Kenyalang,” katanya di sini, semalam.

Iskandar berkata, gudi tradisi jauh lebih sukar untuk dihasilkan berbanding gudi moden, sekali gus menyebabka­n harganya agak tinggi.

Katanya, bukan mudah untuk menyiapkan sebuah gudi yang cantik apatah lagi untuk memenuhi cita rasa pelbagai masyarakat pada masa kini.

“Gudi biasa boleh dihasilkan dalam masa kira-kira sejam. Tetapi, untuk menyiapkan gudi bercorak halus memakan masa lebih lama. Prosesnya sama tetapi yang membezakan­nya adalah corak tertentu pada badan gudi itu, di sinilah kepakaran dan kreativiti diperlukan,” katanya.

Pembuat gudi Sarawak, Awangku Sutijaya Awangku Basar, 54, berkata gudi Sarawak bukan sahaja melambangk­an budaya tempatan, malah menonjolka­n nilai murni masyarakat Sarawak seperti bekerjasam­a dan bermuafaka­t dalam banyak perkara.

“Kesabaran amat penting. Saya akui, ini bukan kerja mudah. Adakalanya untuk menghasilk­an sesuatu yang unik dan menarik, kita perlu masa dan jiwa yang tenang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia