Berita Harian

PM terima anugerah tertinggi Bahrain

Najib turut diberi taklimat mengenai rancangan Manama tarik pelaburan, wujud persekitar­an ekonomi kondusif

-

Datuk Seri Najib Razak, yang sedang melakukan lawatan rasmi ke Bahrain, menghadap Putera Mahkota, Timbalan Pemerintah Tertinggi dan Timbalan Perdana Menteri Pertama negara ini, Putera Salman Hamad Al-khalifa di sini, semalam.

Perdana Menteri diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Hishammudd­in Hussein.

Putera Salman menyambut mesra ketibaan Najib di Istana Ghudaibiya dan diberi sambutan rasmi negara, dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Najib juga memeriksa perbarisan kehormat sempena upacara itu.

Putera Salman kemudian meraikan Najib dan anggota delegasi Malaysia pada majlis jamuan tengah hari.

Terdahulu, Najib menghadiri taklimat mengenai pembanguna­n ekonomi negara Teluk Arab ini di pejabat Lembaga Pembanguna­n Ekonomi Bahrain.

Rancangan tarik pelaburan

Pada majlis itu, ketua eksekutif lembaga berkenaan, Khalid Al-rumaihi memberi taklimat mengenai rancangan Bahrain untuk menarik pelaburan dan mewujudkan persekitar­an ekonomi yang kondusif, termasuk ekonomi digital.

Taklimat itu turut dihadiri Hishammudd­in.

Dalam acara berasingan, Permaisuri Bahrain, Sabeeka Ibrahim Alkhalifa menerima menghadap Datin Seri Rosmah Mansor, semalam.

Isteri Perdana Menteri menghadap baginda ketika lawatan beliau ke Kompleks Majlis Tertinggi Wanita.

Rosmah, kemudian diberi taklimat mengenai kemajuan wanita di negara Teluk ini.

Kelmarin, Perdana Menteri dikurniaka­n anugerah tertinggi Bahrain, ‘King Hamad (Al-nahda) First Medal’ yang disampaika­n oleh Raja Hamad Isa Al-khalifa di Istana Shaikh Hamad.

Perdana Menteri diberi penghormat­an sebagai pemimpin asing pertama dikurnia anugerah tertinggi Bahrain yang diwujudkan dua tahun lalu.

Lawatan rasmi tiga hari

Najib memulakan lawatan rasmi tiga hari dengan menghadap Raja Bahrain di istana sebelum itu.

Perdana Menteri diiringi isteri ketika majlis menghadap.

Raja Hamad juga mengurniak­an anugerah ‘Medal of First Degree’ kepada Hishammudd­in pada majlis pengurniaa­n anugerah.

Baginda kemudian menghoskan majlis santapan negara bagi meraikan Perdana Menteri, isterinya serta delegasi Malaysia di istana.

Raja Hamad yang menaiki takhta pada 6 Mei 1999 melakukan lawatan negara sulung ke Malaysia pada April lalu.

Kuala Lumpur dan Manama menjalin hubungan diplomatik sejak 1974.

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Najib pemimpin asing pertama menerima anugerah King Hamad (Al Nahda) First Medal daripada Raja Hamad di Manama, kelmarin.
[FOTO BERNAMA] Najib pemimpin asing pertama menerima anugerah King Hamad (Al Nahda) First Medal daripada Raja Hamad di Manama, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia