Berita Harian

Semua cawangan UMNO diminta tubuh biro IT

-

Ipoh: Cawangan UMNO di seluruh negara diminta menubuhkan biro teknologi maklumat (IT) dan media sosial selewat-lewatnya bulan depan bagi mempromosi aktiviti parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi Biro IT dan Media Sosial UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata 22,000 cawangan itu perlu melantik sekurang-kurangnya seorang ahli jawatankua­sa (AJK) bagi mengetuai biro berkenaan.

Beliau berkata, peranan biro terbabit ialah menyebarka­n maklumat positif berkaitan kerajaan menjelang PRU-14 menerusi media sosial.

Katanya, setakat ini sebanyak 191 bahagian sudah menubuhkan Biro IT dan Media Sosial di peringkat bahagian, membabitka­n 10 AJK mewakili sayap parti sejak Mac tahun lalu.

“Saya minta tubuhkan segera Biro IT dan Media Sosial pada peringkat cawangan, sekurang-kurangnya seorang AJK mengetuai biro itu. Katalah setiap bahagian ada 100 cawangan, maknanya 100 Biro IT dan Media Sosial perlu diwujudkan.

“Kalau boleh sepanjang bulan depan, kita selesaikan isu penubuhan Biro IT dan Media Sosial peringkat cawangan supaya maklumat jentera mengenai PRU-14 sudah sampai pada peringkat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perjumpaan tertutup dengan jentera Biro IT UMNO Bahagian Ipoh Barat dan bahagian Ipoh Timur di Wisma UMNO Perak, di sini semalam.

Sebar maklumat positif

Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata tugas utama biro berkenaan adalah menyebarka­n maklumat positif mengenai kerajaan Persekutua­n dan negeri serta kepemimpin­an parti menerusi internet dan media sosial.

“Kita gunakan segala medium yang ada termasuk Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp dan Youtube. Mereka perlu babitkan enam kaedah penyebaran maklumat dalam media sosial, iaitu info grafik, video pendek, poster, karikatur, keratan akhbar dan tulisan pendek,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia