Presiden bola sepak Greece terima kiriman peluru
Athens: Persekutuan Bola Sepak Greece berkata mereka menerima ancaman surat tiga halaman yang disertakan dengan sebutir peluru kepada presiden badan itu sebagai ‘cubaan serangan pengganas’.
Bungkusan berdaftar itu yang mengandungi surat dan peluru berukuran 9mm, dihantar kepada Vangelis Grammenos di pejabat mereka di sini, semalam.
Ia dibuka oleh penolongnya berikutan dia tidak berada di pejabat ketika itu.
“Persekutuan Bola Sepak Greece mengutuk keras penghantaran bungkusan berkenaan sambil menyifatkan ia jelas cubaan serangan pengganas terhadap Presiden Grammenos,” kata persekutuan itu dalam satu kenyataan.
Atur perlawanan
Kenyataan itu menambah: “Pentadbiran baharu yang dilantik dalam persekutuan tidak takut dan pembangunan semula yang mungkin mengecewakan beberapa pihak akan diselesaikan”.
Unit keselamatan dan antipengganas sedang menyiasat isi kandungan surat itu dan menganalisis peluru terbabit untuk mencari dalangnya.
Media Greece melaporkan yang surat itu ditandatangani ‘orang daripada pasukan utama’.
Laporan lain menyatakan Grammenos diancam sebelum ini berikutan hubungannya dengan beberapa kelab dan kerajaan negara itu.
Kerajaan memperkenalkan undang-undang bagi membersihkan bola sepak Greece yang dibayangi tuduhan mengatur perlawanan dan keganasan.