Berita Harian

Marhan utama keserasian pemain UNIKL

- Oleh Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: Kapten UNIKL, Marhan Jalil tidak kecewa dengan kegagalan pasukannya meraih kemenangan apabila sekadar seri 0-0 dengan TNB Thunderbol­ts dalam aksi pemanas badan menjelang Liga Hoki Malaysia 2018 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Skuad kendalian Arul Selvaraj itu seharusnya pulang dengan kemenangan tetapi mensia-siakan beberapa peluang terbaik tatkala turun tanpa enam pemain import yang hanya akan tiba beberapa hari lagi.

Bagi Marhan, 27, keputusan itu tidak membawa sebarang makna kerana apa yang penting baginya adalah pasukannya membentuk keserasian yang baik menjelang aksi pertama Piala Tan Sri P Alagendra menentang Selangor D.E. Rabu ini.

Yakin sambar piala

“Ia baharu aksi persahabat­an pertama, untuk saya apa yang penting adalah bagaimana keserasian antara kami dan saya lihat semua pemain beraksi baik.

“Keputusan tidak begitu penting sebab kami tekankan mengenai keserasian pemain dan kami akan perbaiki sebarang kelemahan yang kami kenal pasti pada aksi hari ini,” katanya.

Bagi aksi menentang Selangor D. E, UNIKL dijangka hanya dapat menyenarai­kan tiga pemain import, iaitu penjaga gol Ireland David Harte, Sander de Wijn (Belanda) dan Kieran Govers (Australia) kerana tiga lagi pemain Glenn Turner, Timothy Deavin dari Australia serta Jeroen Hertzberge­r (Belanda) hanya akan tiba selepas berakhir aksi terbabit.

“Dengan kehadiran enam import ternama ini saya 100 peratus yakin kami sekurang-kurangnya boleh menyambar satu daripada tiga piala ditawarkan, cuma kami kini hanya perlu lebih konsisten,” kata Marhan yang juga perancang tengah negara.

 ??  ?? Aksi Marhan (kiri) ketika aksi pemanas badan menentang TNB Thunderbol­ts di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Aksi Marhan (kiri) ketika aksi pemanas badan menentang TNB Thunderbol­ts di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia