Berita Harian

Ujian terbaik skuad B-23 pamer taring

-

Kuala Lumpur: Perjuangan skuad bawah 23 tahun (B-23) dalam kempen Kejuaraan B-23 AFC di Jiangsu, China bulan depan diharap mampu membuka ‘buku’ baharu bola sepak negara yang lebih positif untuk 2018.

Biarpun bakal berdepan tugas berat apabila perlu menentang tiga pasukan dari Asia Barat dalam Kumpulan C, bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar bagaimanap­un menjelaska­n ia tidak boleh dijadikan alasan untuk skuad muda negara gagal menampilka­n aksi terbaik.

Malah, Mohamad berkata, berdepan pasukan dari negara Arab yang pasti memiliki kelebihan daripada aspek fizikal juga adalah ujian terbaik untuk melihat sejauh mana kemampuan pemain muda kita berdepan pasukan luar dari Asia Tenggara.

“Bola sepak mana nak kira fizikal sekarang ini, zaman dulu memang kita nak pemain tinggi dan sasa, terutama di bahagian serangan dan pertahanan. Tetapi sekarang tiada lagi, permainan bola sepak sekarang lebih gunakan otak, bukan fizikal.

“Masa 1980-an dulu, pasukan dari Asia Barat ini setaraf dengan kita, malah kita pernah tewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE), tetapi sekarang kenapa mereka lebih hebat, itu yang perlu kita lihat.

“Jadi, ini peluang terbaik untuk jurulatih menilai pemain masa depan untuk skuad senior negara. Malah, kejohanan berlangsun­g awal tahun dan kita harap ia permulaan yang baik untuk tahun 2018,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ujian terbaik

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang baru sahaja selesai melakukan persiapan di Korea Selatan dan sudah berada di Nanjing, China, hari ini untuk mengharung­i perlawanan persahabat­an terakhir berdepan skuad B-23 Syria di Stadium Pusat Latihan Jiangsu, Nanjing pada Jumaat ini.

Bagi Kejuaraan B-23 AFC, anak buah Kim Swee akan membuka tirai kejohanan bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Selain itu, Mohamad yang juga bekas penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980, berharap jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak membuang masa menarik pemain B-23 yang dilihat mampu diserapkan dalam skuad Harimau Malaya.

 ?? [ FOTO OSMAN ADNAN / BH ] ?? Skuad kendalian Kim Swee diharap mampu membuka ‘buku’ baharu bola sepak negara.
[ FOTO OSMAN ADNAN / BH ] Skuad kendalian Kim Swee diharap mampu membuka ‘buku’ baharu bola sepak negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia