‘TUN M LEBIH GEMAR GUNA ISA, TIDAK PERNAH PEDULI PANDANGAN MUFTI’
Dr Mahathir tak pernah ambil peduli pandangan penasihat agama, lebih suka guna ISA
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan, adalah tidak adil Tun Dr Mahathir Mohamad menuding jari kepada mufti yang didakwanya tidak menegur ‘Amanat Haji Hadi’ pada 1981.
“Jangan disebabkan beliau sudah tersepit, sana sini mahu menyalahkan pihak lain,” katanya.
Ketika dihubungi BH semalam, beliau berkata, pandangan penasihat agama ketika itu tidak ditanya kerana Dr Mahathir lebih gemar menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangkap mereka yang dilihat mengancam pentadbiran.
Tak minta pandangan mufti
“Sebab dulu ada ISA, tangkap orang sahaja. Mufti tidak ditanya, malah tidak diminta pandangan pada masa itu.
“Kenapa mahu letakkan kesalahan pada mufti kerana jika diberikan nasihat sekalipun, pihak terbabit tidak ambil peduli,” katanya.
Kelmarin, Dr Mahathir ketika ucapan penggulungan pada perhimpunan agung tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dilaporkan berkata, mufti sepatutnya menegur amanat Abdul Hadi pada 1981.
Pengerusi PPBM berkenaan turut mendakwa, kegagalan mufti menegur amanat berkenaan mendorong penyokong PAS menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan keganasan seperti peristiwa Memali pada 1985.
Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata Amanat Haji Hadi bukan fatwa, hanya kenyataan bersifat peribadi dan kepartian.
“Ketika itu sudah ada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang jelas mengatakan hanya kenyataan mufti negeri dan kebangsaan dianggap fatwa. Amanat Haji Hadi adalah satu kenyataan, pandangan,” katanya.
Kenapa mahu letakkan kesalahan pada mufti kerana jika diberikan nasihat sekalipun, pihak terbabit tidak ambil peduli” Harussani Zakaria, Mufti Perak