Warga PDRM diminta perbaharui sumpah keramat
Ketua Polis Negara ajak pasukan terus berjuang pertahan kedaulatan tanah air
Mempertahankan kedaulatan negara, menjaga kesejahteraan masyarakat dan memelihara integriti pasukan adalah antara perkara yang akan terus diperjuangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2018.
Serentak itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, mengajak seluruh warga PDRM memperbaharui ‘sumpah keramat’ dan janji setia berjuang ke arah matlamat itu sambil berdoa supaya pengorbanan mereka diberkati serta dirahmati Allah.
Beliau pada masa sama turut berdoa agar polis terus diberi kekuatan untuk memartabatkan pasukan demi agama bangsa dan negara.
Cekal hadapi cabaran
“Pada titik pengakhiran 2017 ini, kita mulakan kehidupan yang baharu dengan membawa bersama seribu kenangan dan pengalaman berharga yang semakin mendewasakan kita.
“Semoga kita terus cekal dan tabah serta berupaya menghadapi apa juga cabaran yang bakal mendatang,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2018, semalam.
Sempena tahun baharu juga, Mohamad Fuzi turut mengajak seluruh pasukannya untuk terus menanam semangat kental dalam diri serta menjalankan tugas dengan penuh iltizam.
Beliau turut berharap supaya hubungan antara polis dan masyarakat akan terus dipererat serta bersatu hati dalam usaha memacu Malaysia ke arah kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan.
“Semoga 2018 membawa seribu rahmat dan keberkatan kepada kita semua, Insya-allah,” katanya.
Semoga kita terus cekal dan tabah serta berupaya menghadapi apa juga cabaran yang bakal mendatang” Mohamad Fuzi Harun, Ketua Polis Negara