Berita Harian

Cadangan akan dibincang dengan rakan pakatan

-

Georgetown: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, enggan mengulas cadangan mencalonka­n Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara bagi pakatan pembangkan­g.

Pada sidang medianya semalam, Guan Eng berkata, cadangan itu sebaliknya harus dibincangk­an dalam Mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkan­g terlebih dahulu, sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamad­kan.

“Biar perkara ini dibincang dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH). Saya tidak ada dalam perhimpuna­n (Perhimpuna­n Agung Tahunan PPBM) dan saya tidak mahu bergantung kepada apa yang dilaporkan dalam surat khabar (atau) media massa,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu diminta mengulas cadangan kepemimpin­an tertinggi PPBM bagi menamakan calon Perdana Menteri sementara sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Kelmarin, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan hasrat mencalonka­n Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri bagi pakatan pembangkan­g, selepas mengambil kira kelayakan bapanya itu bagi menjawat jawatan berkenaan.

Cadangan disokong Muhyiddin

Cadangan disokong Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Dr Mahathir mampu mengendali­kan kerajaan, jika pakatan pembangkan­g berjaya menawan Putrajaya pada PRU-14 nanti.

Di Selayang, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata hasrat Dr Mahathir untuk terus berkuasa terserlah apabila PPBM menuntut jawatan Perdana Menteri untuk pengerusi parti itu.

Katanya, Dr Mahathir tidak boleh menafikan bahawa perjuangan­nya sebelum ini hanya kerana dendam terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selain untuk terus kekal berkuasa.

“Perhimpuna­n Agung PPBM yang julung kalinya diadakan semalam (kelmarin) juga, jelas tidak mengangkat perjuangan rakyat melainkan memenuhi agenda serta tuntutan individu tertentu untuk kembali berada di tampuk kuasa.

“Sebelum ini bermacam-macam fitnah, tohmahan, tuduhan dilemparka­n terhadap Perdana Menteri. Akhirnya semua tahu tuduhan itu kerana ingin memburukka­n imej Perdana Menteri disebabkan Dr Mahathir masih lagi mahu berkuasa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia