Berita Harian

Lelaki mahu letup ICQS Rantau Panjang ditahan

-

Tumpat: Niat jahat seorang lelaki yang disyaki ingin meletupkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamata­n (ICQS) Rantau Panjang dekat sini, gagal selepas dia ditahan dalam satu sekatan jalan raya, malam kelmarin.

Suspek yang berusia 30-an menunggang motosikal ketika ditahan dalam sekatan jalan raya oleh Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Chabang Empat Salam, Rantau Panjang apabila dilihat dalam keadaan mencurigak­an.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata lelaki berkenaan yang berasal dari Pandamaran, Klang, Selangor bertindak agresif dan bergelut dengan anggota AKSEM ketika ditahan kira-kira jam 11.30 malam itu.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku ingin meletupkan Kompleks ICQS Rantau Panjang dan pondok kawalan AKSEM.

“Pemeriksaa­n lanjut dalam beg sandang dibawanya menemui lima plastik bijian, satu plastik serbuk kuning, sebilah pisau, gunting, pemutar skru, lilitan wayar tembaga, bateri dan pasport miliknya,” katanya.

Suspek dikehendak­i polis

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat semalam, suspek juga dalam senarai dikehendak­i polis untuk kes mengikut Seksyen 6 (1) Akta Senjata Berbahaya dan turut mempunyai rekod berkaitan dadah.

“Hasil saringan air kencing, suspek didapati positif methampeth­amine dan kini ditahan untuk siasatan lanjut dan pemeriksaa­n perubatan, sama ada mengalami masalah mental atau tidak,” katanya.

Terdahulu, Hasanuddin menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Tumpat yang baharu, iaitu Superinten­dan Ab Rashid Mat Daud menggantik­an Superinten­dan Mohamed Zulmazi Che Daud.

Ab Rashid sebelum ini Timbalan Ketua Polis Daerah Lipis, Pahang.

Suspek mengaku ingin meletupkan Kompleks ICQS Rantau Panjang dan pondok kawalan AKSEM” Hasanuddin Hassan, Ketua Polis Kelantan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia