440,776 murid, pelajar di Sarawak mula persekolahan esok
Kuching: Seramai 440,776 murid dan pelajar di negeri ini akan memulakan sesi persekolahan masing-masing dengan 23,164 murid memulakan alam persekolahan pada peringkat pra sekolah, esok.
Daripada keseluruhan 440,776 murid dan pelajar, sejumlah 240,676 murid akan bersekolah di 1,265 sekolah rendah seluruh negeri, selain membabitkan 39,231 murid yang sudah didaftar untuk kemasukan ke Tahun Satu, manakala seramai 200,100 pelajar bersekolah di 190 sekolah menengah di seluruh negeri ini.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon, berkata seramai 35,950 pelajar sekolah menengah akan meneruskan persekolahan masing-masing di Tingkatan Satu.
“Pada sesi persekolahan sesi 2018, sebanyak lapan kelas tambahan bagi peringkat prasekolah dibuka membabitkan 1,497 kelas di 1,115 institusi pendidikan di negeri ini. Kelas prasekolah ini merangkumi 1,321 buah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk empat buah di rumah panjang, 159 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).
“Manakala, dua kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), empat di Institusi Pendidikan Guru (IPG), tujuh di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan empat di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
SK Triang mula operasi penuh
Rakayah ketika mengulas lanjut berkata, 2018 turut menyaksikan sebuah sekolah baharu, SK Triang, Serian, mula beroperasi sepenuhnya selepas kerja pembinaan selesai dan diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri pada 21 September 2017.
“Sejumlah 50 murid terdiri daripada Tahun Satu hingga Tahun Enam akan memulakan sesi persekolahan mereka di sekolah yang dibina membabitkan nilai RM16.3 juta.
“SK Triang turut dilengkapi dengan enam bilik darjah, bangunan asrama yang mampu memuatkan 100 murid dan enam rumah guru,” katanya.
Sementara itu, Rakayah berkata, sebanyak 43 sekolah dipilih tahun ini bagi dibangunkan menerusi Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) bagi mencapai hasrat akhir dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013 2025), iaitu menjadikan murid dan sekolah berkualiti.
“Pada 2016, sejumlah 20 sekolah sahaja dimasukkan dalam program transformasi berkenaan, namun bilangan sekolah itu ditambah kepada 23 lagi sekolah yang lebih merangkumi sekolah yang berada dalam daerah luar bandar dan pedalaman,” katanya.