Berita Harian

MBKT diarah periksa bangunan, kemudahan awam

-

Kuala Nerus: Kerajaan negeri mengarahka­n Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memeriksa semua struktur bangunan dan kemudahan awam di bandar raya ini, susulan insiden bumbung laluan pejalan kaki di Jalan Daik, di sini, runtuh malam semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata penelitian terperinci perlu dibuat bagi memastikan semua kemudahan disediakan berada dalam keadaan selamat, kukuh dan tidak membahayak­an pengguna, terutama ketika musim tengkujuh ini.

“Kita sedang menunggu laporan lengkap daripada MBKT bagi mengenal pasti punca berlakunya masalah itu.

“Sebaik puncanya dikenal pasti, kita akan lakukan tindakan seterusnya sama ada ia disebabkan oleh reka bentuk yang tidak sesuai, kecuaian manusia atau bencana akibat angin kuat malam tadi,” katanya selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal (SK T’jems) di sini, semalam.

Beliau mengulas kejadian bumbung laluan pejalan kaki di Jalan Daik, dekat Pasar Besar Kedai Payang, di sini, runtuh malam semalam, selepas dipukul angin kencang.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara itu kerana ia membabitka­n keselamata­n orang ramai.

“Kita mahu kemudahan yang disediakan kepada rakyat dalam keadaan selamat.

Utama keselamata­n pengguna

“Oleh itu, semua aspek keselamata­n akan dilihat semula bagi menjamin keselamata­n pengguna,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh, yang melawat lokasi kejadian berkata pihaknya sudah meminta Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menentukan pembinaan pejalan kaki dan bumbung sejauh kira-kira 400 meter itu menepati spesifikas­i dan piawaian atau sebaliknya.

Sementara menunggu keputusan hasil siasatan CIDB itu, laluan penjalan kaki di berkenaan yang dibina dalam tiga fasa pada 2015 membabitka­n peruntukan sebanyak RM600,000, ditutup buat sementara.

“Kontraktor dan pegawai teknikal serta mereka yang terbabit menyediaka­n pelan dan reka bentuk bumbung itu akan dipanggil untuk mengemukak­an laporan.

“Walaupun punca bumbung laluan pejalan kaki itu runtuh disebabkan angin kuat, tetapi siasatan menyeluruh termasuk kekukuhan struktur pembinaan perlu dilakukan,” katanya.

Samiun berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden runtuhan bumbung pejalan kaki yang dibina melalui Program Bandar Selamat MBKT itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia