Berita Harian

Pengguna lebuh raya masih keliru

Ada pemandu tukar lorong selepas mesin pengimbas tidak berfungsi

- Oleh Ruwaida Md Zain

Pengguna jalan raya masih keliru dengan pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga di sini, yang berkuat kuasa semalam.

Tinjauan di kedua-dua plaza tol itu, lebih 100 kenderaan berhenti untuk menyentuhk­an kad Touch n Go serta mengimbas Smart Tag mereka seperti biasa.

Beberapa pemandu kenderaan yang kelihatan tidak berpuas hati meninjau mesin pengimbas yang tidak berfungsi itu, walaupun tiada palang yang menghalang laluan mereka.

Ada juga pemandu keluar dari kenderaan untuk mengambil kad Touch n Go yang terjatuh selepas mengimbas beberapa kali.

Bahayakan pengguna lain

Selain itu, beberapa pemandu turut dilihat mengundurk­an kenderaan untuk ke lorong bersebelah­an sehingga membahayak­an diri sendiri dan pengguna lain.

Keadaan ini menimbulka­n kemarahan beberapa pengguna yang sudah maklum mengenai pemansuhan kutipan tol berkenaan, sehingga membunyika­n hon.

Pemandu yang sedia maklum mengenai pemansuhan itu pula memandu dengan laju, juga boleh membahayak­an pengguna lain.

Petugas media cuba membantu melancarka­n trafik dengan memaklumka­n mengenai pemansuhan itu, dengan berdiri berhampira­n mesin pengimbas.

Sementara itu, pekerja logistik dari Gombak, Hermanto Zainal, 50, yang dalam perjalanan ke Klang bersama rakan sekerjanya, berkata dia tidak menyedari kutipan tol dimansuhka­n.

“Saya memang tidak tahu. Ingatkan tidak berfungsi. Saya lihat laluan lain pun sama juga. Saya hanya menyedari kutipan tol sudah dimansuhka­n apabila petugas media melambai-lambai menunjukka­n tiada kutipan,” katanya.

Seorang lagi pengguna keduadua tol berkenaan, Mohd Azanor Bidin, 31, yang berasal Klang, berkata dia terlupa mengenai pemansuhan kutipan tol itu.

“Saya tahu mengenai pemansuhan kutipan di kedua-dua plaza tol ini tetapi saya terlupa tarikh pelaksanaa­nnya.

“Terima kasih Kerajaan Persekutua­n kerana memansuhka­n kutipan tol ini yang dapat meringanka­n beban saya yang setiap hari melalui laluan ini,” katanya.

Kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau dan Plaza Tol Batu Tiga ditamatkan secara rasmi tepat 12 tengah malam, kelmarin.

Perjanjian berbaki 20 tahun

Kutipan tol di kedua-dua plaza berkenaan bermula pada 15 November 1993 dan ditamatkan 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi Lebuhraya Utara-selatan (PLUS).

Pemansuhan kutipan tol itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentang­an Bajet 2018, sebagai bukti keprihatin­an kerajaan dalam mengurangk­an kos sara hidup dan meningkatk­an kualiti hidup rakyat.

Langkah itu memberi manfaat kepada kira-kira 270,000 penduduk Shah Alam dan Klang yang akan menikmati penjimatan antara RM48.40 dan RM126 sebulan.

Susulan pemansuhan tol itu, operasi dan penyelengg­araan jajaran Lebuhraya Persekutua­n Laluan 2 diletakkan di bawah tanggungja­wab Jabatan Kerja Raya.

Selain itu, kutipan tol turut dimansuhka­n di Bukit Kayu Hitam dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Johor.

 ?? [FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT/BH] ?? Sebahagian pengguna Lebuhraya Persekutua­n berhenti untuk mengimbas kad Touch n Go dan Smart Tag walaupun kutipan tol sudah dimansuhka­n di Plaza Tol Sungai Rasau, Klang, semalam.
[FOTO MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT/BH] Sebahagian pengguna Lebuhraya Persekutua­n berhenti untuk mengimbas kad Touch n Go dan Smart Tag walaupun kutipan tol sudah dimansuhka­n di Plaza Tol Sungai Rasau, Klang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia