Berita Harian

Kedah agih RM2.4 juta bayar IKA sejak 2015

Kerajaan negeri serah RM100 seorang kepada 24,038 bayi

- Oleh Noorazura Abdul Rahman

Kerajaan negeri memperuntu­kkan RM2.4 juta bagi membayar insentif kelahiran anak Kedah (IKA) kepada 24,038 bayi yang dilahirkan sejak 2015.

Pengerusi Jawatankua­sa Pembanguna­n Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pembanguna­n Usahawan, Pertanian dan Asas Tani Kedah, Datuk Suraya Yaacob, berkata setiap bayi baru lahir akan menerima RM100 iaitu RM80 diberikan dalam bentuk baucar, manakala RM20 lagi melalui Akaun Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-I).

“IKA diberi untuk membantu meringanka­n beban kewangan ibu bapa membuat persediaan menyambut kelahiran bayi mereka dan waris boleh membuat tuntutan dalam tempoh enam bulan selepas kelahiran.

“Ibu bapa boleh menuntut skim ini melalui pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pihak hospital sendiri akan menyerahka­n borang itu selepas kelahiran bayi,” katanya selepas Meraikan Anak Tahun Baharu 2018 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

21 bayi lahir di Kedah

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail dalam satu kenyataan mengesahka­n 21 kelahiran bayi baharu direkodkan di seluruh Kedah antara jam 12 tengah malam hingga 9 pagi semalam, membabitka­n 11 bayi lelaki dan 10 perempuan.

“Kelahiran paling awal direkodkan di Pusat Bersalin Berisiko Rendah (LRBC) di Hospital Alor Setar membabitka­n bayi perempuan pada jam 12.10 pagi seberat 3.4 kilogram (kg).

“Keseluruha­nnya seramai lapan kelahiran direkodkan di HSB, diikuti lima di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, di Hospital Kulim (4), Hospital Langkawi (2) dan satu lagi d Hospital Sik, manakala tiada kelahiran dicatat di Hospital Jitra, Kuala Nerang, Yan serta Baling sehingga jam 9 pagi,” katanya.

Seorang guru yang bertugas di Putrajaya, Nor Azmira Abdullah, berkata beliau teruja anak kelimanya selamat dilahirkan pada jam 6.15 pagi semalam.

“Saya mula sakit pagi semalam (kelmarin) dan bersyukur selamat lahirkan anak pada tahun baharu,” katanya yang berasal dari Pumpong, di sini.

Perasaan itu turut dikongsi ibu muda, Siti Najwa Zainol, 21, yang turut melahirkan anak perempuan pada jam 5.05 pagi semalam, iaitu lebih awal daripada tarikh dijangka bersalin pada 8 Januari.

Bagaimanap­un, bagi Cristina Som A/P Sumsak, 25, anak kedua yang dilahirkan pada jam 3.29 pagi semalam, terpaksa dimasukkan ke wad Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) untuk pemantauan berikutan Cristina Som menghidap kencing manis.

“Walaupun lewat sehari daripada tarikh dijangka, saya tetap bersyukur dapat melahirkan anak secara normal dan lebih menggembir­akan dia lahir pada 1 Januari,” katanya yang tinggal di Naka, Kuala Nerang.

 ?? [FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN/BH] ?? Suraya (tengah) dan kakitangan HSB bergambar bersama bayi tahun baharu yang dilahirkan di hospital itu, semalam.
[FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN/BH] Suraya (tengah) dan kakitangan HSB bergambar bersama bayi tahun baharu yang dilahirkan di hospital itu, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia