Berita Harian

Dari rumah panjang Sri Aman ke Eropah

-

Kuching: Sejak sembilan tahun lalu kehidupan penduduk di tiga rumah panjang iaitu Rumah Helary Nyelam, Rumah Nimong Empelanjau dan Rumah Sepitson di Sri Aman, kira-kira 200 kilometer dari Kuching, bertambah sibuk.

Dibantu Lembaga Pemasaran Persekutua­n (FAMA) rambutan Anak Sekolah atau varieti R191 diusahakan mereka dan mula mengeluark­an hasil sejak 2008 kini mendapat permintaan tinggi untuk pasaran domestik dan eksport.

FAMA yang ditubuhkan bertujuan menyelia, menyelaras, mengawal setia dan memajukan pemasaran keluaran pertanian negara termasuk pengimport­an serta pengekspor­tan terus mengintai peluang memasarkan hasil tani penduduk tiga rumah panjang tersebut khususnya ke luar negara.

Timbalan Pengarah (Operasi) FAMA Sarawak, Abdul Jaafar Lian, berkata hasil usaha gigih pihaknya berjaya mengekspor­t rambutan Anak Sekolah ke China, Dubai dan Eropah.

Katanya, rambutan Anak Sekolah agak bulat dan kulit merah, isinya pejal, sederhana manis serta tidak berair sesuai untuk pasaran eksport serta mempunyai peminat sendiri.

“Rambutan Anak Sekolah dari Sri Aman mula menembusi pasaran antarabang­sa pada 2015.

“FAMA mengekspor­t 800 kilogram ke Dubai dan 900 kilogram ke Belanda pada tahun itu, manakala pada 2016 sebanyak 700 kilogram dieksport ke China,” katanya.

Permintaan tinggi menjelang Krismas

Abdul Jaafar berkata, rambutan Anak Sekolah turut mempunyai peminat di Eropah, kebiasaann­ya permintaan tinggi sebelum sambutan Krismas.

“FAMA turut menghantar tiga tan ke Semenanjun­g, penghantar­an dibuat tiga kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Khamis. Selain itu ke Miri, Bintulu dan Sabah,” katanya sambil menambah FAMA Sarawak membeli 250,587 kilogram rambutan Anak Sekolah dari Sri Aman dalam tempoh 2008 hingga 2016 untuk dipasarkan.

Abdul Jaafar berkata, penanaman rambutan berkenaan di tiga kawasan rumah panjang itu diusahakan secara teratur membabitka­n kawasan 48 hektar.

“Rumah Nimong dan Sepitson juga memiliki persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MYGAP) bagi memastikan produk yang dikeluarka­n mampu menembusi pasaran antarabang­sa,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia