Berita Harian

Zizan, Uqasha sering jadi mangsa kecaman netizen

-

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak mengaku pernah dilempar kata-kata kesat oleh netizen hanya selepas berkongsi status di laman sosial.

Menerima kecaman netizen sebagai asam garam dunia seni, Zizan berkata, kepesatan teknologi menyebabka­n pengguna internet semakin berani bertindak di luar jangkaan sehingga menimbulka­n ‘gangguan’ dan tekanan kepada masyarakat.

“Isu kes buli siber sebenarnya perlu lihat kepada jenisnya dan perbuatan menggodam juga sudah dikira teruk.

“Saya pernah melaluinya apabila akaun Facebook saya digodam.

“Jika membabitka­n kutukan, setakat komen ‘lakonan abang tidak baguslah’ atau ‘abang berlakon macam kayu,’ saya terima dengan hati terbuka biarpun penggunaan kata-kata agak kasar. Jadi, saya cuba perbaiki apa yang sepatutnya,” katanya kepada BH.

Bagaimanap­un, Zizan menganggap tindakan segelintir netizen mencaci hingga dalam kes tertentu, mengaitkan keluarga tidak boleh diterima.

Keluarga turut jadi mangsa

“Apabila dikutuk dengan kata-kata kesat, caci maki sehingga menghina keluarga, itu sudah melampau. Namun, nak buat macam mana, sebagai artis kita tidak perlu layan golongan seperti ini,” katanya.

Zizan atau nama penuhnya, Mohd Razizan Abdul Razak, berkata artis dan selebriti yang terdedah dengan tohmahan, fitnah dan kritikan netizen perlu bijak menguruska­n masalah itu.

“Saya ambil pendekatan bersikap positif. Kes buli siber tidak boleh berakhir. Malah, saya fikir, ia mungkin boleh jadi lebih teruk pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, aktres Uqasha Senrose mengaku sudah lali dengan kritikan netizen berpunca daripada entri yang dimuat naiknya di laman sosial.

Mengakui ada ketika geram dan sakit hati dengan golongan pembenci, namun Uqasha bersikap positif dengan kecaman yang diterima hampir setiap hari.

“Kadang-kadang saya tidak faham apa yang mereka mahu. Kalau anda berada di tempat saya, pasti anda akan mengamuk. Cuma sebagai selebriti, kalau terlalu cepat melatah, bergegarla­h dunia.

“Kalau hendak tertekan sekalipun, perkara ini tidak akan ke mana-mana. Jadi, lebih baik kita abaikan, walaupun hati sakit membaca cacian di ruangan komen laman sosial kita.

“Ada sahaja orang mengata. Mereka akan perhatikan kita dari hujung rambut hingga hujung kaki. Bayangkan, ibaratnya orang yang tidak dikenali datang pada anda dan mengutuk anda hodoh atau gemuk. Apa reaksi anda, pastinya anda melenting,” katanya.

Uqasha berkata, andai kes buli siber mampu ditangani melalui tindakan undang-undang, beliau tidak teragak-agak membuat dakwaan.

Bagaimanap­un, katanya, pemerhatia­nnya mendapati kebanyakan pemberi komen menggunaka­n akaun palsu dan individu terbabit sukar dijejaki.

“Berdasarka­n pengamatan saya melalui gambar profil, kebanyakan yang suka mengkritik tanpa sebab adalah golongan remaja dan lelaki, tetapi tak tahulah jika gambar profil sekadar hiasan.

“Namun, bagi saya, kes buli siber sudah semakin melampau tanpa kawalan. Saya harap sedikit sebanyak kes seumpama ini dapat dikurangka­n pihak berkuasa,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia