Berita Harian

Bekas inspektor, isteri dituduh tipu peniaga RM140,000

-

Chukai: Seorang bekas pegawai polis dan isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman di sini, semalam atas pertuduhan menipu dan bersubahat menipu seorang peniaga sehingga RM140,000, kononnya untuk dilaburkan dalam skim pelaburan permodalan hartanah yang tidak wujud, dua tahun lalu.

Mohd Salam Zainal Abidin, 31, yang ketika itu berpangkat inspektor dituduh menipu Tan Yunn Siong, 50, melalui penama, Zamri Ismail di kaunter Bank Islam Malaysia Bhd cawangan Kemaman, pada jam 11.48 pagi, 25 Mei 2016.

Tertuduh didakwa memperdaya Yunn Siong untuk menyerahka­n RM140,000 kononnya sebagai modal untuk mendapatka­n keuntungan pelaburan permodalan hartanah yang sebenarnya tidak wujud.

Mohd Salam bagaimanap­un mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdi.

Isteri tertuduh, Nurul Shahila Saayan, 28, pula didakwa bersuhabat menipu mangsa sama membabitka­n amaun, lokasi dan masa sama.

Diarah serah pasport

Suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadli Mahmud.

Badrul Munir kemudian membenarka­n Mohd Salam dan Nurul Shahila diikat jamin RM10,000 dan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Hakim turut mengarahka­n pasangan itu menyerahka­n pasport masing-masing kepada mahkamah dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Januari depan.

Nurul Shahila membayar wang jaminan, manakala Mohd Salam pula gagal melunaskan­nya dan ditahan di lokap Penjara Marang.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd Nasir Yusof dan Mohd Fauzi Abdul Samad.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia