Berita Harian

Gerakwanis bantu asnaf, ibu tunggal jadi guru al-quran

Persatuan minta jabatan agama ambil peserta program mengajar DIKAFA

- Oleh Haryani Ngah

Bermatlama­t tingkatkan taraf hidup wanita asnaf, Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis) membantu mencari penaja membiayai pengajian al-quran bagi melayakkan golongan itu bertugas sebagai guru agama.

Menerusi kerjasama Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), 60 wanita termasuk asnaf, ibu tunggal dan individu tiada pendapatan mengikuti Program Kemahiran Membaca al-quran selama 18 bulan.

Kursus tiga semester itu membolehka­n mereka menjadi guru agama di kawasan perumahan awam dan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Pengerusi Gerakwanis, Bibi Sunita Sakandar Khan, berkata semua wanita terbabit akan memasuki semester kedua bulan ini.

“Program ini selaras dengan matlamat kami meningkatk­an taraf hidup golongan asnaf melalui pengajian al-quran.

“Setiap kali tamat semester, peserta diberi sijil dan apabila cukup tiga semester pengajian, mereka layak menjadi tenaga pengajar di Kelas al-quran dan Fardu Ain (KAFA).

“Gerakwanis akan berbincang dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutua­n (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutua­n (MAWIP) supaya peserta diterima sebagai tenaga pengajar KAFA apabila tamat pengajian.

Bantu akhiri status asnaf

“Memandangk­an mereka adalah golongan asnaf dan menerima bantuan bulanan Baitulmal, jadi apabila diterima sebagai tenaga pengajar KAFA, secara tidak langsung membantu mereka keluar daripada golongan asnaf,” katanya ketika dihubungi BH.

Bibi Sunita berharap, JAWI dan MAWIP dapat memberi sokongan kepada usaha Gerakwanis untuk menjadikan peserta ini sebagai guru KAFA apabila mereka menamatkan pengajian selama satu setengah tahun ini.

Katanya, kebanyakan peserta tinggal di PPR dan tiada pendapatan sendiri, jadi apabila memasuki program intensif mereka berpeluang mengubah nasib keluarga.

“Mereka adalah golongan asnaf, susah, ibu tunggal dan tiada pendapatan, jika ada elaun sebagai guru KAFA, mereka mampu keluar daripada kemiskinan.

“Ini akan membantu asnaf lain yang memerlukan bantuan mendapat manfaat sepatutnya. Mereka juga boleh meluangkan masa dan tenaga untuk manfaat anak di kawasan terbabit,” katanya.

Selain itu, program terbabit juga langkah terbaik membantu menangani masalah gejala sosial di kawasan perumahan berkenaan, memandangk­an tenaga pengajar agama adalah penduduk di kawasan berkenaan.

Bibi Sunita mengalu-alukan pelbagai pihak menaja kos pembiayaan bagi membolehka­n program dijalankan secara berterusan.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubung­i Gerakwanis di talian 0123064662. Pengerusi Gerakwanis

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia