Pemantapan pedagogi guru perlu diutamakan
Kamarozaman Abd Razak S:
Bagaimana NUTP melihat arahan pemansuhan pengasingan kelas ini?
J: Langkah pemansuhan ini membuktikan usaha murni KPM untuk memastikan kemenjadian murid secara holistik dan mengukuhkan lagi pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ketika ini. PBS antara instrumen utama bagi menterjemahkan falsafah pendidikan negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Namun, kami berpendapat tempoh masa diberikan terlalu tergesa-gesa kerana lebih penting adalah pemantapan pedagogi guru itu sendiri, selain kefahaman jelas juga mesti diberikan kepada ibu bapa, guru dan pelajar, sekali gus memastikan kelancaran pelaksanaannya nanti. Bagi NUTP, masa yang ideal untuk pemansuhan ini adalah pada 2020 kerana dalam tempoh masa dua tahun ini, kita perlu membuat perubahan pada pedagogi guru secara sistematik memandangkan proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) selepas ini adalah membabitkan murid cemerlang, sederhana dan lemah dalam satu masa. Oleh sebab itu juga, kita minta supaya KPM memperuntukkan dua guru dalam satu kelas, selaras transformasi pembelajaran abad ke-21 yang ingin dilaksanakan kerajaan.
S:
Adakah pelaksanaan ini akan merancakkan lagi senario perkembangan pendidikan di Malaysia?
J: Sekiranya semua pihak dapat berganding bahu melakukannya secara sistematik, terperinci dan menyeluruh, sudah pasti ini akan menggalakkan lagi perkembangan positif bidang pendidikan di negara ini. Bagi kami, sudah tiba masa untuk Malaysia mengikut jejak negara maju seperti Australia dan New Zealand yang sudah mempraktikkan amalan ini sejak dahulu. Berdasarkan lawatan kerja ke New Zealand sebelum ini, saya mendapati sistem pendidikan mereka sangat efektif. Fokus diberikan kepada bagaimana kaedah untuk membina kemahiran murid secara menyeluruh, malah, bilangan pelajar di kelas tidak melebihi 20 orang.
Penekanan terhadap ilmu kemahiran adalah sebagai persediaan melatih pelajar untuk berdepan alam pekerjaan sebenar. Justeru, kami mahu KPM memperbanyakkan pelbagai program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini yang sudah dilaksanakan seawal peringkat Tingkatan Satu kerana platform ini menjanjikan jaminan kerjaya yang cukup meluas.
S:
Bagaimana aspek kesediaan guru untuk berdepan situasi murid yang memiliki kecerdasan berbeza terutama dari segi akademik?
J: Pada hemat saya, proses PDP mampu berjalan dengan sebaiknya jika guru didedahkan dengan kefahaman menyeluruh mengenai pelaksanaan ini. Guru juga perlu mendalami teori kecerdasan terutama bagi membolehkan mereka merancang teknik, kaedah dan strategi pengajaran bersesuaian mengikut jenis kecerdasan, bakat serta potensi yang ada pada diri pelajar itu sendiri. Pendekatan bersepadu dan menyeluruh ini selaras falsafah pendidikan kebangsaan yang bermatlamat melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani serta intelek.
Selain itu, percampuran tanpa membezakan tahap kemampuan akademik pelajar juga dapat meningkatkan semangat berpasukan. Pelajar cemerlang membantu rakan mereka yang lemah untuk bersama menempa kejayaan. Di samping itu, jurulatih utama (JU) perlu kerap turun padang ke sekolah membantu dan memantau tahap kemahiran guru lebih-lebih lagi pembelajaran masa kini adalah menumpukan pembelajaran abad ke-21 (PAK21).
Oleh sebab itu, mentaliti pelajar untuk menjadi ‘ulat buku’ perlu diubah kerana mereka bukan setakat dinilai dari aspek akademik, malah, merangkumi pembabitan dalam bilik darjah, kokurilum, sukan serta jasmani, di samping elemen psikometrik yang menjurus kepada potensi bakat mereka.
S:
Bagaimana NUTP melihat langkah menghentikan sekolah kawalan mengutamakan pelajar akademik dan disiplin?
J: Tindakan menghentikan sekolah kawalan ini termasuk Sekolah Rancangan Khas Negeri dilihat amat wajar kerana amalan ini kadangkala menyusahkan pelajar sebagai contoh mereka terpaksa pergi ke sekolah yang jauh kerana tidak diterima di sekolah berhampiran kawasan perumahan mereka.
Kami (NUTP) juga mencadangkan supaya tiada lagi penambahan Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas ini dan mengekalkan sekolah sedia ada sahaja. Hal ini sekali gus bagi mengelakkan beban tugas dihadapi guru yang terpaksa mementingkan elemen kualiti sehingga memberikan tekanan kepada mereka. Pada masa sama, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang beroperasi ketika ini wajar dikekalkan.
S:
Saranan NUTP untuk memastikan kelangsungan pendidikan negara pada masa depan?
J: Kami bersifat terbuka dan bersedia untuk duduk semeja bersama kementerian mahupun pihak berkaitan untuk membincangkan mekanisme serta hala tuju berkesan ke arah memperkasakan lagi bidang pendidikan di negara ini. Kerjasama ini penting susulan kekangan kewangan dihadapi ketika ini. Bagi saya tidak timbul isu beban guru bertambah sekiranya perkara penting membabitkan kebajikan guru diberi keutamaan. Antaranya, seperti mengurangkan elemen pendokumentasian yang perlu dilaksanakan guru dalam PBS memandangkan tugasan harian yang perlu mereka tempuhi di sekolah.
Justeru, cadangan tempoh dua tahun ini amat bersesuaian kerana banyak elemen perlu diambil kira sebelum sesuatu pelaksanaan itu dijalankan. Malah, tempoh minimum pelaksanaan kursus berkaitan pedagogi guru juga dianggarkan kira-kira enam bulan. Selain itu, kolaborasi dan perbincangan secara bersama berupaya merancakkan lagi arena pendidikan di Malaysia.