Berita Harian

Dua suspek utama didakwa di mahkamah

-

Pontian: Dua suspek utama kes tikam dan gilis di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru, pada 17 Disember lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata sembilan lagi suspek yang turut memainkan peranan dalam kes pembunuhan itu masih dikesan.

Katanya, mangsa dan semua suspek kes itu dipercayai anggota satu geng kongsi gelap dan pembunuhan itu, dikenal pasti berkaitan kes dadah.

“Hasil siasatan polis, dua lelaki berusia 19 dan 23 tahun akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok (hari ini).

Minta kerjasama orang ramai

“Kedua-dua lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati kerana membunuh bersama beberapa lagi suspek yang dikenal pasti masih bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaia­n Amanat Bersama Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa maut akibat ditikam, dilanggar dan digilis kereta ketika mengisi angin tayar di sebuah stesen minyak.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada dada kiri.

Sementara itu, Mohd Khalil meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sembilan lagi suspek berusia 21 hingga 40 tahun untuk menghubung­i balai polis berhampira­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia