Berita Harian

TIMBALAN KETUA UMNO CAWANGAN MAUT SELEPAS SELAMATKAN ANAK

Timbalan Ketua UMNO Kuala Ibai meninggal ketika selamat anak dalam kebakaran

- Oleh Fitri Nizam

Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kuala Ibai yang meninggal selepas menyelamat­kan anaknya dalam kebakaran rumah mereka semalam, memuat naik status memaparkan kata-kata mengenai kematian di akaun Facebookny­a.

Status dimuat naik Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45, pada jam 7.22 pagi itu meruntun hati rakan laman sosialnya sebaik mendapat berita tragedi menimpa mangsa, pagi semalam.

Status itu antara lain mengenai kematian dan perkara baik ditinggalk­an si mati bersama pesanan bahawa kehidupan amat singkat untuk bersikap negatif seperti dengki, marah dan benci, selain nasihat supaya sentiasa senyum, berlapang dada dan mempunyai sifat pemaaf.

Dalam kejadian pada jam 8.40 pagi semalam, Ahmad Fakhrurazi ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sambil memeluk anak, Muhammad Aqil Harith, 3, di halaman rumah oleh anak saudaranya.

Dia meninggal dunia selepas dipercayai sesak nafas ketika menyelamat­kan anak bongsunya itu dalam kebakaran rumah mereka.

Sangka kepulan asap bakar sampah

Anak saudaranya, Ahmad Syahir Azizi Ahmad Zulfa, 18, berkata beliau baru tiba di rumah neneknya bersebelah­an rumah mangsa dan melihat kepulan asap yang disangkany­a orang membakar sampah sebelum terdengar letupan kecil dan cermin pecah.

“Saya bergegas untuk memeriksa dan melihat Acik (nama panggilan mangsa) terbaring di halaman rumah, manakala anak bongsunya menangis dalam pelukan, namun tidak cedera. Saya memeriksa Acik, tapi tiada tindak balas.

“Melihat mukanya pucat, kami terus hubungi bantuan kecemasan,” katanya.

Tiga anak di sekolah

Ketika kebakaran kediaman rumah berkembar dua tingkat berkenaan, isteri mangsa, Tengku Mastura Tengku Ahmad, 30-an, keluar bekerja, manakala tiga lagi anak mereka berada di sekolah.

“Acik disahkan meninggal sebaik pasukan perubatan tiba untuk memberi rawatan kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 8.45 pagi sebelum menghantar 18 anggota dihantar ke lokasi.

“Api marak membakar kediaman ketika pasukan penyelamat tiba. Kita mengambil 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

 ??  ??
 ?? [FOTO GHAZALI KORI/BH] ?? Tengku Mastura bersama anak menyiram air mawar di pusara Allahyarha­m Ahmad Fakhrurazi (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Islam Gong Pauh, Kuala Ibai, semalam.
[FOTO GHAZALI KORI/BH] Tengku Mastura bersama anak menyiram air mawar di pusara Allahyarha­m Ahmad Fakhrurazi (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Islam Gong Pauh, Kuala Ibai, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia