Berita Harian

Integriti halal perlu diperkasa

-

Populasi penduduk Islam sedunia dianggarka­n mencecah 2.2 billion pada 2030. Muslim dituntut memajukan industri halal, sejajar dengan pertambaha­n penduduk dan permintaan terhadap produk halal global.

Nilai pasaran halal yang dijangka meningkat RM2 trilion (AS$547 bilion) setahun, menjadi sumber tarikan utama pengusaha produk halal.

Ada pelbagai produk dan perkhidmat­an halal untuk pengguna Islam dan bukan Islam, termasuk makanan, minuman, bahan tambahan makanan, kosmetik, ubat, vaksin, makanan haiwan, logistik dan kewangan Islam.

Kini, pelbagai persoalan timbul berhubung status halal produk atau perkhidmat­an.

Produk halal tidak semestinya berkualiti, selamat dan suci (toyyib). Konsep halal juga bukan sahaja tertumpu kepada bahan mentah tetapi erti lebih luas.

Konsep halal bermula apabila pembekal mengagihka­n bahan mentah kepada pengeluar sehinggala­h produk siap diproses untuk dimakan atau digunakan.

Isu status halal sering timbul apabila tiada pengasinga­n secara fizikal antara produk halal dan haram, terutama semasa proses pengangkut­an, penyimpana­n dan pengendali­an di sepanjang rantaian bekalan makanan.

Oleh kerana proses produk semakin rumit bagi memenuhi permintaan tinggi pengguna, sering kali integriti halal diabaikan walaupun pengeluar, pengangkut, pengendali dan pengguna dibantu oleh kecanggiha­n teknologi serta keprihatin­an masyarakat terhadap apa dimakan atau diguna.

Majoriti pengguna Islam kini berpengeta­huan tinggi dan mengambil berat status halal. Pengguna Islam juga menekankan kebersihan, keselamata­n dan kesucian (toyyib) sesuatu produk.

Namun, pelbagai isu yang timbul pada hari ini menyebabka­n masyarakat keliru dan sangsi terhadap status halal.

Pelbagai laporan dikeluarka­n berkaitan keraguan status halal sesuatu produk dan pengguna semakin terdedah dengan produk yang disyaki dicampur dengan unsur haram di sisi Islam.

Masyarakat Islam di negara ini juga dikejutkan dengan isu penggunaan logo halal palsu pada produk makanan, kesihatan dan juga di restoran sehingga boleh meragukan pengguna.

Perkara ini seharusnya tidak dipandang ringan atau remeh. Pengguna akan mengambil tindakan lebih berhati-hati dalam mendapatka­n sesuatu produk makanan dan juga produk kegunaan harian.

Patuhi prinsip syariah

Oleh itu, selain adanya logo halal bagi meyakinkan pengguna bahawa produk itu berkualiti, bersih, suci dan selamat untuk dimakan atau digunakan, pengeluar juga seharusnya mempunyai integriti halal yang tinggi dalam memastikan produk adalah halalan toyyiban ketika proses pengeluara­n, penghantar­an, penyimpana­n, pengendali­an sehinggala­h kepengguna­an dengan mematuhi prinsip syariat Islam.

Hasil penemuan penyelidik­an pengurusan produk halal mendapati, integriti halal sesuatu produk boleh dijamin daripada pelbagai aktiviti dalam rantaian bekalan makanan.

Semua syarikat pengeluar makanan dan barang gunaan harian yang disahkan halal bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada bahan pengeluara­n mereka tetapi juga penting bagi mereka untuk memberikan tumpuan terhadap keseluruha­n rantaian bekalan makanan termasukla­h pengangkut­an, penyimpana­n dan pengendali­an yang mematuhi hukum syariat Islam serta keperluan pasaran sasaran mereka.

Pendekatan ini akan memberikan jaminan kepada pengeluara­n produk halalan toyyiban di sepanjang rantaian bekalan makanan, bermula di peringkat awal sumber bahan mentah diagihkan kepada pengeluar sehinggala­h sampai kepada pengguna akhir.

Tambahan pula, ia boleh membina semula keyakinan pengguna terhadap pemain rantaian bekalan makanan yang lebih berintegri­ti. Tumpuan utama rantaian bekalan makanan halal ialah untuk mengelakka­n pencemaran antara halal dan haram.

Hal ini sangat penting bagi mewujudkan kepercayaa­n serta keyakinan dalam kalangan pengguna yang memerlukan jaminan lebih tinggi untuk apa yang mereka makan ataupun guna.

Lebih penting, integriti halal sudah menjadi salah satu kejayaan utama bagi keseluruha­n pemain industri halal. Oleh itu, memperkasa integriti halal melalui rantaian bekalan makanan halal oleh pemain industri halal akan dapat membantu pihak berkaitan dalam memantau, memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai garis panduan produk makanan halal yang sebenar mengikut syariat Islam selaras hasrat kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia sebagai pusat hab halal global pada 2020.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia