Berita Harian

Projek landasan berkembar elektrik Gemas-johor Bahru mula dilaksana

-

Johor Bahru: Projek landasan berkembar elektrik Gemas-johor Bahru sepanjang 192 kilometer dengan kos RM9.434 bilion akan dilaksanak­an mulai bulan ini.

Pengerusi Jawatankua­sa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata projek yang tertangguh sejak tahun lalu itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 48 bulan.

Katanya, sebelum ini, terdapat beberapa kekangan terutama dari segi reka bentuk, penempatan semula penduduk setinggan dan pemindahan rumah ibadat di kawasan yang terbabit dalam projek berkenaan.

“Jambatan di Jalan Dewata Larkin, di sini, akan diberi keutamaan dari segi tempoh siapnya kerana dalam skop kerja projek ini, terdapat 29 jambatan jalan raya yang perlu dilebarkan, selain 59 jambatan merentasi sungai dan 11 lintasan pejalan kaki.

“SIPP Railway Sdn Bhd dan YTL Power Internatio­nal Bhd yang juga kontraktor tempatan sudah bersetuju memulakan pembinaan jambatan sebaik kerja berkaitan termasuk memuktamad­kan reka bentuk dan harga pengalihan utiliti di sepanjang jajaran pembinaan,” katanya.

Kurangkan kesesakan lalu lintas

Bercakap kepada media selepas melawat jambatan Jalan Dewata Larkin, di sini semalam, Hasni berkata, projek landasan kereta api itu akan menyaksika­n kerja melebarkan jambatan berkenaan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala, sekali gus mengatasi isu kesesakan lalu lintas.

“Projek ditawarkan kepada konsortium dari China, iaitu CRCC CREC CCC Consortium Sdn Bhd dan dijangka siap pada suku keempat 2021. Sebanyak 50 peratus daripada nilai kontrak diberi kepada subkontrak­tor tempatan termasuk 30 peratus daripadany­a kontraktor Bumiputera.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri menyasarka­n sekurang-kurangnya 150 kontraktor tempatan terbabit dalam projek ini. Apabila SIPP dan YTL bekerjasam­a, itu sahaja sudah memenuhi sebahagian daripada syarat yang ditetapkan kerajaan.

“Kontraktor tempatan disaran mengambil peluang serta segera mendaftar dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai agensi penguasa projek ini di bawah Kementeria­n Pengangkut­an,” katanya.

 ?? [FOTO NURUL AMANINA SUHAINI/BH] ?? Hasni mengadakan lawatan ke jambatan Jalan Dewata Larkin, Johor Bahru, semalam.
[FOTO NURUL AMANINA SUHAINI/BH] Hasni mengadakan lawatan ke jambatan Jalan Dewata Larkin, Johor Bahru, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia