Berita Harian

‘Celestine Ujang banyak berkorban’

-

Kuching: Mendiang Tan Sri Celestine Ujang Jilan, pernah melakukan pengorbana­n besar pada awal pembabitan­nya dalam arena politik, semata-mata mahu memastikan kestabilan politik Sarawak terus terjamin.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, sebagai pemimpin muda ketika itu, mendiang menghormat­i mereka yang lebih senior dan itu yang berlaku apabila beliau melepaskan jawatan dalam Kabinet negeri pada 1981.

“Beliau melangkah keluar sukarela (dari Kabinet) untuk memberi laluan kepada pemimpin dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), supaya rakan parti komponen itu berpeluang menjadi sebahagian Kabinet negeri.

“Saya percaya, tindakan beliau itulah yang menyatukan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) dan memperkuku­hkan kestabilan politik di negeri ini ketika itu,” katanya selepas memberi penghormat­an terakhir kepada mendiang di kediamanny­a di Tabuan Jaya di sini, semalam.

Abang Johari menyifatka­n mendiang mentor yang mengajar beliau betapa pentingnya prinsip yang perlu dipertahan­kan parti iaitu kesetiaan dan perpaduan.

Rebah di rumah

Celestine Ujang yang pernah menjadi Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), meninggal dunia di Hospital KPJ jam 7.48 malam semalam, selepas rebah di rumahnya di Tabuan Jaya di sini, kira-kira jam 6 petang.

Mendiang meninggalk­an seorang isteri serta tiga anak perempuan. Anak keduanya adalah isteri Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Sepanjang karier politiknya sebelum bersara pada 2001, mendiang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena dan memegang beberapa portfolio antaranya Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Menteri Perumahan selain menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak mulai 1981 hingga 1987.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Talip Zulpilip pula berkata, mendiang disifatkan pemimpin cukup tenang dan setia kepada orang atasan walaupun ketika parti yang diwakiliny­a melalui pelbagai cabaran.

“Kita memerlukan lebih ramai orang seperti beliau yang setia dan berdedikas­i terutama dalam parti dan pentadbira­n negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Talip berkata, ketika pertama kali bertanding sebagai wakil rakyat di Jepak, mendiang membantuny­a mengisi borang pencalonan dengan menggunaka­n mesin taip.

“Itu kenangan terindah bersama mendiang. Beliau adalah mentor saya dalam politik,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya yang juga Ketua Pemuda PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mendiang seorang yang amat komited dalam tugasnya dan taat dalam perjuangan parti.

 ?? [FOTO JANNAH KHO/BH] ?? Abang Johari memberi penghormat­an terakhir Celestine Ujang di rumahnya di Kuching, semalam. kepada mendiang
[FOTO JANNAH KHO/BH] Abang Johari memberi penghormat­an terakhir Celestine Ujang di rumahnya di Kuching, semalam. kepada mendiang

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia