Berita Harian

Penjara 8 tahun padah culik warga emas OKU

-

Kuala Lumpur: Seorang ibu tunggal yang menculik seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) di tempat letak kereta sebuah hospital sebelum merompak barang kemas serta mencederak­annya, dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Shamsudin Abdullah menjatuhka­n hukuman itu terhadap Aminah Sulaiman, 26, yang tidak bekerja, selepas wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraa­nnya, semalam.

Mahkamah menjatuhka­n hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan­merompak dan penjara tiga tahun kerana menculik serta memerintah­kan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 11 September 2017.

Wanita itu didakwa merompak barang kemas iaitu sepasang subang, dua utas gelang tangan dan seutas rantai leher emas milik Zaiton Beevi Mohamad Anwar, 62, serta dengan sengaja menyebabka­n kecederaan kepada mangsa.

Ibu dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Dia juga dituduh menculik mangsa sama mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan juga dikenakan denda.

Mohon hukuman ringan

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di kawasan tempat letak kereta di Tingkat 3, Klinik Pakar Harian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Jalan Pahang, di sini pada 1.30 petang, 11 September 2017.

Aminah diwakili peguam, Latheefa Koya memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya menjaga dua anak yang masih kecil, bapanya yang juga seorang OKU serta ibunya seorang suri rumah dan melakukan kesalahan itu disebabkan terdesak dan mengalami masalah kewangan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran atas hujah mangsa OKU yang berkerusi roda.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa dibawa ke hospital oleh suaminya untuk mendapatka­n rawatan dan sebaik selesai menerima rawatan, ditinggalk­an di tempat menunggu di hadapan hospital sementara suaminya mengambil ubat mangsa di unit farmasi.

Tertuduh kemudian datang ke arah mangsa yang ditinggalk­an berseorang­an lalu menolak kerusi roda wanita OKU itu ke tingkat tiga parkir hospital sebelum memasukkan mangsa ke dalam sebuah kereta Proton Wira dan meninggalk­an perkaranga­n hospital.

Semasa di dalam kereta, tertuduh telah mengambil barang kemas milik mangsa serta mencederak­annya. Mangsa kemudian ditinggalk­an di perhentian bas di Jalan Seputeh, Brickfield­s sebelum ditemui polis pada hari sama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia