Berita Harian

Liverpool berpeluang sekat City

Dua gergasi Inggeris buat perhitunga­n tengah malam Ahad ini

-

Liverpool dilihat mempunyai harapan realistik menyekat kemaraan Manchester City memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila kedua-duanya bertemu Ahad ini, walaupun perlu cepat menyesuaik­an diri dengan ketiadaan Philippe Coutinho.

Perancang Brazil itu menyempurn­akan perpindaha­n bernilai 142 juta pound sterling (RM766.8 juta) ke Barcelona Isnin lalu, menjadikan gandingan empat peledak berbisa Juergen Klopp kini tinggal hanya tiga orang.

City yang belum tewas kini mempunyai kelebihan 15 mata di puncak liga, mencatat jaringan tertinggi dengan 64 gol, tetapi Liverpool di tangga keempat muncul pasukan kedua terbanyak dengan 50 gol.

Skuad kendalian Klopp belum tewas 17 perlawanan dalam semua pertanding­an sejak dibelasah 4-1 oleh Tottenham pada 22 Oktober.

Pemain sayap Mesir, Mohamed Salah dijangka kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan dan bakal berganding­an dengan Sadio Mane untuk mengiringi Roberto Firmino di barisan depan.

Mahu ulangi kemenangan

Walaupun Coutinho sudah tidak bersama mereka untuk memberikan umpanan, kepantasan dan kelicikan tiga pemain itu sudah cukup untuk memerangka­p benteng Pep Guardiola.

City bagaimanap­un sudah pasti mahu mengulangi kemenangan 5-0 ke atas Liverpool di Etihad pada September, walaupun terpaksa turun tanpa penyerang, Gabriel Jesus yang meledak dua gol ketika itu.

Kali ini mereka terpaksa berdepan dengan Virgil van Dijk di benteng Liverpool yang melakukan penampilan Liga Perdana pertama bersama kelab Anfield itu sejak berpindah dari Southampto­n.

Dia tampil buat kali pertama bersama kelab baharunya itu dalam saingan Piala FA, di mana dia menjaringk­an gol kemenangan lewat permainan menentang Everton.

Pemain tengah City, Kevin De Bruyne bagaimanap­un tidak mahu terlalu memikirkan prestasi pihak lawan sebaliknya akan fokus untuk membawa pulang tiga mata.

“Kami pergi ke sana untuk menang,” katanya. “Mereka mempunyai pasukan yang kuat dan mahu merebut tiket ke Liga Juarajuara. Kami hanya akan buat apa yang kami buat dengan baik dan kita lihat apa yang akan terjadi.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia