Berita Harian

Bekas pegawai RELA didenda RM273,600, penjara 2 bulan

Tertuduh tidak diwakili peguam mengaku bersalah

- Oleh Mohd Roji Kawimd

Bekas pegawai Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) Serian, didenda RM273,600 oleh Mahkamah Khas Rasuah Kuching, di sini, semalam, kerana membuat tuntutan palsu, enam tahun lalu.

Abdul Wali Fathir Mustapha, juga dihukum penjara dua bulan selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh berusia 29 tahun yang tidak diwakili peguam itu kelihatan tenang ketika hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Dia disabitkan kesalahan memperdaya pegawai kewangan di Ibu Pejabat RELA Sarawak, Jamil Aboi, apabila mengemukak­an tuntutan elaun berjumlah RM54,720 pada 3 Mei 2012.

Jumlah tuntutan palsu sangat tinggi

Mengikut kertas pertuduhan, tuntutan elaun itu adalah bagi ‘Pengakuan Kehadiran Anggota Rela Yang Bertugas Sebagai Pelapor Peti Undi’ di daerah Serian pada April yang mengandung­i butiran palsu 190 anggota RELA yang bertugas pada acara yang diadakan pada bulan berkenaan.

Tertuduh dalam rayuannya untuk mengurangk­an hukuman, berkata dia sumber nafkah tunggal untuk keluarga dan kini menganggur, manakala anakanakny­a masih kecil.

Bagaimanap­un, pegawai pendakwa SPRM, Dzulkarnai­n Rousan Hasbi mencadangk­an hukuman penjara kerana jumlah tuntutan palsu yang dibuat oleh tertuduh dianggap sangat tinggi.

Inspektor polis tukar pengakuan

Terdahulu, di mahkamah yang sama, seorang Inspektor polis menukar pengakuann­ya bersalah menerima suapan sebanyak RM5,000 daripada seorang wanita di Sibu pada 13 Mac 2015.

Wang suapan itu adalah sebagai dorongan untuk mengembali­kan barang kemas di dalam kereta yang dirampas berkaitan kesalahan penyalahgu­naan dadah.

Azrul Izman Shadan, 36, dijatuhi hukuman penjara 20 hari dan denda RM25,000 serta dua bulan penjara jika gagal membayar denda itu selepas dia mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Nixon juga mengarahka­n hukuman penjara terhadap pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik itu bermula hari ini.

Azrul, yang diwakili peguam Fadzillah Osman mengaku tidak bersalah ketika dituduh melakukan kesalahan itu di Mahkamah Rasuah Khas di Sibu pada 5 September tahun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia