Klinik 1Malaysia perluas kemudahan kesihatan
Sandakan: Pewujudan tujuh Klinik 1Malaysia di daerah ini membolehkan masyarakat mencapai akses rawatan kesihatan dengan mudah.
Tujuh klinik itu terletak di Bandar Leila, Bandar Labuk, Bandar Letat, Karamunting, Taman Seletar, Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni dan GumGum di Batu 16.
Pegawai Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr Johari Awang Besar, berkata pemilihan lokasi Klinik 1Malaysia yang berdekatan dengan kawasan perumahan, memudahkan ia dikunjungi penduduk di sekitar.
Katanya, Klinik 1Malaysia Bandar Leila yang pertama dibuka di daerah ini pada 2010 dan terbaharu di PPR Taman Murni pada tahun lalu.
Beliau berkata, dianggarkan 60 hingga 120 pesakit mendapatkan rawatan di klinik itu setiap hari dengan paling ramai di Bandar Leila seramai 90 hingga 120 orang.
Katanya, klinik itu diwujudkan agar dapat memperluaskan kemu dahan kesihatan kepada penduduk di daerah ini, selain klinik kesihatan sedia ada dan hospital daerah.
Ia dibuka mulai 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, kecuali cuti am dengan setiap pesakit hanya dikenakan caj RM1 bagi warganegara Malaysia dan percuma untuk warga emas.
Rancang rawatan ibu, anak
Antara perkhidmatan yang disediakan adalah rawatan untuk demam, batuk, selesema, rawatan susulan kes pesakit kronik yang stabil termasuklah penyakit kencing manis, darah tinggi dan prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka serta buka jahitan.
Dr Johari berkata, rawatan kesihatan di setiap klinik itu menjadi keutamaan dengan menempatkan seorang doktor yang dibantu oleh pembantu perubatan dan jururawat.
Dalam pada itu, pihaknya juga merancang untuk menyediakan perkhidmatan rawatan ibu dan anak di Klinik 1Malaysia di Taman Seletar dan PPR Taman Murni.
Ratarata rakyat begitu menghargai usaha kerajaan mewujudkan Klinik 1Malaysia yang disifatkan dapat memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan.
Ishak Ibrahim, 62, dari Kampung Sungai Kayu, ketika ditemui di Klinik 1Malaysia PPR Taman Murni berkata, pewujudan klinik itu yang terletak tidak jauh dari kampungnya memudahkan dia datang mendapatkan rawatan.
Katanya, dia tidak perlu pergi jauh mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan dan ini menjimatkan dari segi kos pengangkutan menaiki bas.
Ubat percuma
Pendapatnya turut dikongsi Mohd Tahir Bin Raba, 64, dari Kampung Tinusa Dua yang menyifatkan usaha kerajaan mewujudkan Klinik 1Malaysia dapat memenuhi keperluan rawatan kesihatan rakyat.
Katanya, caj yang dikenakan hanya RM1 dan ubat percuma di klinik itu dapat meringankan beban rakyat.