Berita Harian

Wanita Filipina ditahan bersama syabu RM240,000

-

Tawau: Polis menahan seorang wanita dan merampas dadah jenis syabu seberat 3.02 kilogram bernilai lebih RM240,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Pangkalan Wakuba, Batu 15 Jalan Apas, dekat sini, kelmarin.

Serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dan Strike Team (ST) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau diketuai Inspektor Izwan Abdol Rahman, kirakira jam 5.30 pagi, susulan maklumat serta risikan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata hasil serbuan itu polis menahan wanita warga Filipina berumur 55 tahun yang berada dalam sebuah bilik di rumah papan berkenaan.

“Pemeriksaa­n lanjut menemui enam paket plastik lut sinar berisi bahan hablur jernih disyaki syabu dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di IPD Tawau, semalam.

Buru ahli sindiket

Fadil berkata, susulan penahanan wanita terbabit, pihaknya kini giat memburu beberapa lagi individu dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah berkenaan.

“Kejayaan ini adalah hasil pendekatan agresif IPD Tawau dengan kerjasama masyarakat, sekali gus rampasan dadah jenis syabu terbesar di daerah ini setakat awal tahun ini.

“Suspek kini ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori,” katanya.

 ?? [ FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING / BH ] ?? Fadil (kanan) menunjukka­n dadah jenis syabu yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah rumah papan tidak bernombor di Kampung Pangkalan Wakuba, Batu 15, Jalan Apas, Tawau, kelmarin.
[ FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING / BH ] Fadil (kanan) menunjukka­n dadah jenis syabu yang dirampas dalam satu serbuan di sebuah rumah papan tidak bernombor di Kampung Pangkalan Wakuba, Batu 15, Jalan Apas, Tawau, kelmarin.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia