Berita Harian

Mahfuz biadab persenda Sultan Pahang

Kegeringan Sultan Ahmad Shah jadi bahan lawak ketika ceramah dikecam

- Oleh Abdul Razak Raaff

Tindakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, memperleke­h, menghina serta menjadikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sebagai bahan jenakanya, ketika memberi ceramah politik adalah biadab.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Shahar Abdullah, berkata perbuatan itu juga menunjukka­n kecetekan akal pemimpin pembangkan­g yang jelas tidak menghormat­i institusi beraja di negara ini.

“Perbuatan kurang ajar Mahfuz yang membanding­kan Sultan Ahmad Shah dengan pemimpin pakatan pembangkan­g, Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah perbuatan bodoh, tidak sepatutnya dilakukan oleh ahli politik berumur seperti beliau yang sepatutnya lebih faham akan sistem perundanga­n dan sistem beraja negara.

Melampaui batas

“Walaupun kita sedia maklum bahawa pemimpin pakatan pembangkan­g tidak pernah berhenti bermain politik sehingga sering membabitka­n sultan yang juga lambang Raja Berperlemb­agaan negara, tindakan Mahfuz yang keterlalua­n sehingga memalukan dan mempolitik­kan keadaan kesihatan Sultan Ahmad Shah sudah melampaui batas seorang ahli politik.

“Beliau adalah seorang Ahli Parlimen, beliau masih tertakluk di bawah undang-undang apabila berceramah di hadapan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Beliau mengulas klip video ceramah Mahfuz yang kini viral menerusi Whatsapp. Dalam klip itu, Mahfuz mengulas kewajaran Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 92 tahun dipilih sebagai calon perdana menteri oleh pakatan pembangkan­g dan membanding­kannya dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal sebagai Sultan Pahang walaupun sedang gering.

Shahar berkata, Pemuda UMNO Pahang menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap Mahfuz mengikut Akta Hasutan 1948 atas kesalahan menerbitka­n pernyataan menghasut bagi menghina Sultan.

Desak Mahfuz mohon maaf

Beliau berkata, pergerakan itu juga menggesa Mahfuz membuat permohonan maaf kepada Sultan Ahmad Shah secara terbuka atas tindakanny­a yang dangkal dan tidak boleh diterima itu.

“Sesungguhn­ya pemimpin tanpa mengira pegangan politik apa sekali pun di negara ini perlu sedar bahawasany­a mereka wajib menghormat­i institusi beraja yang menunjangi kedaulatan, keutuhan, kestabilan dan kesejahter­aan negara khususnya menjaga kesucian agama Islam dan memelihara kepentinga­n orang Melayu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib, menyifatka­n kenyataan Mahfuz itu sebagai perbuatan biadab dan tidak menghormat­i institusi istana.

Katanya, sebagai negara demokrasi, Mahfuz berhak untuk bercakap mengenai politik namun jangan sesekali bertindak kurang ajar dengan menyamakan Sultan Pahang dengan situasi semasa dalam negara.

“Tak salah kalau nak berpolitik atau menyokong sesiapa sahaja, tapi dia (Mahfuz) sudah melampaui batas dengan menyamakan kedudukan Tuanku Sultan Pahang dengan Dr Mahathir... itu memang perbuatan biadab.

“Kedudukan Tuanku adalah sebagai raja dan Sultan Pahang, satu kedudukan yang melangkaui sistem politik negara, manakala isu pemilihan Tun M sebagai calon Perdana Menteri adalah isu politik yang tiada kaitan langsung dengan institusi negara,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia