Berita Harian

Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP diarah tutup

-

Kluang: Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP, Renggam, dekat sini, diarah tutup dua minggu bermula semalam, berikutan satu benteng pemisah di kawasan itu pecah hingga berlaku pencemaran air di Sungai Benut, pagi kelmarin.

Ia adalah kali kedua masalah itu berlaku dalam tempoh enam bulan yang menyebabka­n kandungan ammonia dalam air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam meningkat, memaksa operasi rawatan air mentah dihentikan sementara.

Timbalan Menteri Kesejahter­aan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique, berkata arahan itu dibuat bagi membolehka­n SWM Environmen­t Sdn Bhd membaiki benteng pemisah sampah yang pecah.

“Ia bertujuan menghalang limpahan air larutan resapan daripada mengalir ke Sungai Benut yang menjadi sumber air mentah utama kira-kira 7,000 penduduk Simpang Renggam.

“Penutupan Tapak Pelupusan Sampah Ladang CEP, Renggam sehingga 28 Januari ini bermakna Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Majlis Perbandara­n Kluang (MPK) dan Majlis Perbandara­n Batu Pahat (MPBP) tidak dibenar menghantar sampah ke sini.

“Kementeria­n mengarahka­n SWM Environmen­t mengambil alih kerja penghantar­an sampah ke Tapak Pelupusan Sampah Seelong, Senai yang jaraknya kirakira 75 kilometer dari sini.

“SWM Environmen­t turut dikenakan penalti dan diarah menanggung bayaran yuran pungutan bernilai RM49,000 dan yuran pengangkut­an RM100,000 yang sebelum ini ditanggung PBT terbabit.

Penalti harian dikenakan

“Jika SWM gagal membaiki benteng berkenaan dalam tempoh dua minggu seperti ditetapkan, penalti akan berjalan secara harian dan ditanggung mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak pelupusan sampah Ladang CEP, Renggam, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankua­sa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Ismail Mokhtar.

Kandungan ammonia yang tinggi di punca air mentah Sungai Benut menyebabka­n LRA Simpang Renggam menghentik­an sementara proses rawatan air.

Keadaan itu menyebabka­n kirakira 7,000 penduduk Simpang Renggam terjejas bekalan air lebih enam jam kelmarin.

Sementara itu, Halimah berkata, SWM Environmen­t turut diarah menutup bahagian longgokan sampah di kawasan tinggi serta kritikal dengan plastik khas.

Katanya, ia bagi menghalang limpahan air larutan resapan mengalir keluar dari kolam takungan khas berikutan musim hujan kebelakang­an ini.

“Kementeria­n juga sudah melantik perunding bagi memantau kerja pembaikan benteng yang pecah kerana tidak mahu perkara ini berulang hingga menjejaska­n bekalan air penduduk,” katanya.

 ??  ?? Halimah Sadique
Halimah Sadique

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia