Berita Harian

Lelaki tidak serik kena penjara miliki motosikal curi

Suspek ditahan sekali lagi dalam operasi lakukan kesalahan sama

- Oleh Ruwaida Md Zain

Tidak serik dan pernah dipenjarak­an atas kesalahan memiliki motosikal curi, seorang lelaki sekali lagi ditahan atas kesalahan sama dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Kilometer 11.6 susur keluar ke Lebuhraya Persekutua­n II awal pagi semalam.

Malah, pemuda itu turut mendakwa motosikal berkenaan dicuri daripada kakaknya kerana geram tidak dibenarkan meminjamny­a, namun siasatan awal mendapati kenderaan itu sebenarnya dimiliki seorang lelaki dan dilaporkan hilang di Kelana Jaya.

Pegawai Penguat Kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Mohd Nazli Nordin, berkata sebelum ini suspek pernah ditangkap atas kesalahan memiliki motosikal curi mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 20 tahun dan bekerja di sebuah kilang, pernah dipenjarak­an di Penjara Kajang tahun lalu.

“Suspek ditahan dalam operasi tadi (pagi semalam) atas kesalahan memiliki motosikal curi iaitu MODENAS CT115S warna merah yang dilaporkan hilang di Kelana Jaya pada 25 Disember tahun lalu.

“Dia yang beralamat di Petaling Jaya sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah Kelana Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya selepas operasi itu.

106 saman dikeluarka­n

Mohd Nazli berkata, dalam operasi selama dua jam bermula jam 1.30 pagi hingga 3.30 pagi, sebanyak 106 saman dikeluarka­n membabitka­n pelbagai kesalahan manakala 57 buah motosikal disita.

“Penunggang motosikal yang diperiksa dan ditahan berusia dalam lingkungan 15 hingga 27 tahun, manakala ada dalam kalangan pembonceng yang berumur seawal 13 dan 14 tahun serta beberapa pembonceng wanita.

“Bagi pembonceng bawah umur, kami menghubung­i ibu bapa atau penjaga untuk mengambil mereka di sini.

“Sebanyak 56 saman dikeluarka­n atas kesalahan tiada lesen, 19 (tiada cermin sisi), satu saman ubah suai ekzos, dua saman tidak menampal lesen L dan P, tiga saman tidak mempamerka­n cukai jalan dan satu saman bagi lesen tamat tempoh,” katanya.

Dalam operasi itu, seorang pelajar kolej swasta yang cuba melarikan diri, cedera pada hidung dan mulut akibat terjatuh dari motosikal dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Siasatan mendapati dia mempunyai lesen memandu yang sah dan menunggang motosikal yang mengikut spesifikas­i yang ditetapkan.

Namun pelajar itu dipercayai turut mahu melarikan diri kerana panik apabila semua rakannya berpatah balik kerana mahu mengelak sekatan jalan raya.

Dalam operasi itu juga sepasang suami isteri terpaksa menanggung kerugian selepas kereta mereka rosak akibat dirempuh sekumpulan mat rempit yang melarikan diri dari sekatan jalan terbabit.

Operasi membabitka­n 66 anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkua­saan Trafik (BSPT) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan dibantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan anggota polis sukarela.

 ?? [FOTO FALIQ LAJIM/BH] ?? Antara ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Kilometer 11.6 susur keluar ke Lebuhraya Persekutua­n II dekat Shah Alam, awal pagi semalam.
[FOTO FALIQ LAJIM/BH] Antara ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Kilometer 11.6 susur keluar ke Lebuhraya Persekutua­n II dekat Shah Alam, awal pagi semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia