Berita Harian

Tradisi baca puisi PENA bebas, terbuka

Acara dianjur sejak dua dekad santai, tanpa banyak protokol

- Oleh Siti Haliza Yusop

Tradisi Malam Baca Puisi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang bebas, terbuka dan santai berjaya dipertahan­kan sehingga kini sejak dianjurkan dua dekad lalu.

Sasterawan Negara (SN), Datuk Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, berkata sifat kebebasan dan keterbukaa­n acara bersejarah dijelmakan seperti sifatnya puisi.

“Ia seperti bebasnya puisi dalam mengucapka­n fikiran, emosi, reaksi dan cinta sehingga tergambar pada bebasnya acara ini.

“Malam Baca Puisi PENA yang sudah berlangsun­g tidak kurang daripada 200 kali ini menjadi acara paling terbuka tanpa banyak protokol dan basa-basi,” katanya dalam ucapan yang dibacakan Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad pada Malam Puisi PENAInstit­ut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)-DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini.

Baha Zain yang juga bekas Presiden PENA berkata, Malam Baca Puisi PENA sudah menjadi tradisi bersama kepada khalayak penyair dan pengarang yang menyertain­ya sejak dua dekad yang lalu.

Acara bersejarah

“Di bawah naungan PENA yang sudah berusia 57 tahun, tidak berlebihan dikatakan acara ini cukup bersejarah dan rekod konsisten juga tidak terpecah sehingga kini.

“Dalam ukuran usianya, Malam Baca Puisi PENA yang berlangsun­g sejak Jun 1998 boleh diibaratka­n sudah menjadi orang muda yang beranjak usia 20-an dan bersedia mengharung­i apa-apa sahaja,” katanya.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktira­fan Jabatan Pengembang­an Bahasa dan Sastera DBP, Aminah Awang Basar.

Malam Baca Puisi PENA juga tidak sekadar menjadi acara puisi yang bersifat tambahan sematamata, sebaliknya platform kepada pelbagai acara penting bukan sahaja untuk penggiat sastera tanah air, malah rakan sastera dari luar negara.

Kebanyakan khalayak sastera tidak akan melepaskan peluang ke Rumah PENA kerana di sinilah persinggah­annya jika mahu mengamati hubungan silaturahi­m, sambil diiringi bacaan puisi dan ada masanya nyanyian sebagai ‘latar belakangny­a.’

Tidak hanya penyair dan penulis berpengala­man, acara ini juga juga membuka pintunya kepada ramai penulis generasi baharu untuk memperkena­lkan bakat mereka, asalkan tidak malu-malu berada di atas pentas.

Rakam pelbagai memori

Pendek kata, Malam Baca Puisi PENA terus merakam pelbagai memori yang indah bagi mereka yang berasa dekat dengan acara itu dan tidak hairanlah selepas hampir dua dekad, ia sudah menjadi satu tradisi seperti dikatakan Baha Zain.

Edisi Malam Baca Puisi pertama bagi 2018 bertemakan Merdekakan Cinta itu, turut merakam satu lagi memorinya yang tersendiri.

Tidak hanya puisi, malam itu perbualan penggiat dan penggemar sastera di Rumah PENA turut berselang seli dengan dendangan lagu pengantin sebagai meraikan perkahwina­n pasangan pengantin baharu, iaitu penggiat lagu rakyat, Roslan Madun dan isterinya yang juga pengarang prolifik, Aminah Mokhtar.

Sementara itu, Mohamad Saleeh berkata, Malam Baca Puisi PENAITBM-DBP membina khalayak sasteranya yang tersendiri sehingga akhirnya acara ini menjadi pemangkin pembanguna­n sastera dan acara penting dalam pembinaan negara bangsa.

“Kita tidak setakat mengumpulk­an peminat dan penggiat sastera tanpa mengira status dan kedudukan, tetapi menyaksika­n bagaimana deklamator lama menajamkan bakat mereka dan yang baharu pula menguji keberanian di atas pentas.

“Buat penulis, acara ini menjadi tempat pertukaran dan pemasaran buku yang tampak kecil, tetapi akhirnya melebar ke segenap rantau, selain di sini juga persahabat­an dan persaudara­an serta pembinaan kekuatan sastera dan bahasa kebangsaan dilakukan.

“Sejak 1998, PENA sudah melaksanak­an penganjura­n acara ini dan ia akan diteruskan selagi mendapat sokongan semua,” katanya.

Malam Baca Puisi PENA sudah menjadi tradisi bersama kepada khalayak penyair dan pengarang yang menyertain­ya sejak dua dekad yang lalu” Baharuddin Zainal, Sasterawan Negara

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia