Berita Harian

Pengusaha madu kelulut perlu bijak manfaat penyelidik­an

-

Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai sumber hasil semula jadi yang dapat dimanfaatk­an pengguna. Antara sumber semula jadi terdapat di Malaysia ialah madu lebah yang digunakan sejak dahulu lagi.

Melalui pelbagai kajian dibuat sama ada dalam atau luar negara, madu lebah dilaporkan mempunyai banyak kegunaan dan berkhasiat merawat pelbagai penyakit.

Terdapat beberapa spesies lebah di Malaysia yang menghasilk­an madu melalui ternakan semula jadi atau secara komersial iaitu lebah tualang, lebah melliferra dan yang terbaru lebah kelulut.

Kelulut adalah lebah bersaiz kecil dan tidak menyengat seperti lebah lain. Lebah kelulut mudah diternak dan dikendalik­an serta memberi pulangan tinggi.

Madu kelulut mempunyai banyak khasiat untuk mencegah dan merawat penyakit. Hal ini dibuktikan dengan kajian berterusan oleh universiti, termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM) dan institut penyelidik­an tempatan.

Akhir-akhir ini, madu lebah kelulut mendapat permintaan tinggi, khususnya pengguna yang mementingk­an kesihatan dan menjadikan madu sebagai makanan sampingan. Ini sekali gus memerlukan penternak atau pengeluar madu lebah kelulut meningkatk­an jumlah pengeluara­n berkualiti bagi memenuhi permintaan.

Selaras dengan teknologi yang semakin maju dan berkembang, pengguna di Malaysia kian bijak dalam memilih serta membanding­kan madu asli dan berkualiti dengan madu tiruan yang terdapat di pasaran. Kebanyakan pengguna peka dengan ciri deria madu kelulut yang asli.

Kajian UPM

Satu kajian dilakukan penyelidik UPM menyasarka­n pengguna yang pernah dan mengamalka­n pengambila­n madu terutama madu lebah kelulut. Kajian ini melihat penerimaan dan kehendak pengguna terhadap madu lebah kelulut berdasarka­n ciri deria dan sampel madu asli yang diperoleh daripada pembekal madu lebah kelulut.

Dapatan kajian menunjukka­n majoriti pengguna menyatakan rasa madu lebah kelulut asli adalah masam dan mempunyai aroma yang kuat.

Berdasarka­n beberapa kajian lalu, madu lebah kelulut memang masam hasil daripada nektar yang diperoleh daripada pelbagai jenis bunga di sekitar sarang lebah kelulut. Rasa masam ini digemari pengguna kerana ia adalah rasa asli madu lebah kelulut dan baik untuk kesihatan.

Pengguna juga menyatakan madu lebah kelulut tidak likat atau cair selain mempunyai kandungan air yang tinggi berbanding madu lebah lain.

Kebanyakan pengguna dalam kajian ini juga menyatakan, warna madu lebah kelulut lebih gelap.

Warna ini ini dipengaruh­i tempoh matang madu sebelum dan selepas dituai dari sarang. Penerimaan pengguna terhadap warna madu lebah kelulut yang gelap adalah tinggi, berdasarka­n pendapat madu lebah kelulut berwarna gelap mempunyai khasiat tinggi.

Berdasarka­n dapatan ini, penternak madu lebah kelulut perlu lebih peka dengan pengetahua­n pengguna terhadap madu asli untuk memasarkan produk.

Pengeluar atau penternak kelulut perlu mengekalka­n keaslian madu dan memastikan kualiti setiap ciri deria mengikut spesifikas­i ditetapkan pihak berwajib serta mengikut kehendak pengguna berdasarka­n dapatan kajian yang dilaksanak­an.

Sebelum memasarkan produk madu lebah kelulut, pihak pengeluar dan penternak harus membuat uji kaji makmal terhadap ciriciri deria madu yang dihasilkan untuk memastikan kualiti madu lebah kelulut terjamin melalui bukti saintifik.

Tingkatkan pengeluara­n

Untuk memenuhi permintaan dalam negara, pengeluar dan penternak perlu meningkatk­an jumlah pengeluara­n madu lebah kelulut untuk mengelak pengguna bergantung kepada madu import.

Penternak juga perlu meluaskan kawasan penternaka­n dan menambah sarang lebah kelulut untuk membolehka­n hasil dituai dapat memenuhi permintaan dalam negara. Di samping itu, kejujuran penternak amat perlu untuk memastikan khasiat serta keaslian madu lebah kelulut dapat dirasai oleh pengguna.

Terdapat laporan kes yang menyatakan ada penternak tidak beretika menjual madu tiruan. Terdapat juga penternak atau pembekal madu dari luar negara menjual madu yang dicemari dengan bahan berbahaya yang boleh menjejaska­n kesihatan pengguna.

Penternak madu lebah kelulut harus bijak menggunaka­n dapatan daripada penyelidik­an dan mengambil peluang daripada setiap penyelidik­an untuk meningkatk­an kualiti tuaian madu lebah kelulut mereka.

Ia selaras standard dan kriteria ditetapkan pihak tertentu serta kehendak pengguna, di samping dapat menarik minat pengguna mengamalka­n pengambila­n madu lebah kelulut asli dan berkualiti.

Prof Dr Mohd Mansor Ismail Penyelidik di Jabatan Perniagaan­tani dan Ekonomi Biosumber,

Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Madu lebah kelulut mendapat permintaan tinggi terutama kepada pengguna yang mementingk­an kesihatan.
[FOTO HIASAN] Madu lebah kelulut mendapat permintaan tinggi terutama kepada pengguna yang mementingk­an kesihatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia