Berita Harian

‘Demam’ berebut kerusi Parlimen, DUN sudah bermula

-

dekat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin gamat acara berebut kerusi dalam kalangan ahli politik. Rakyat terutama pengundi sedang memerhati siapa yang kena iaitu siapa yang tidak dapat mempertaha­nkan kerusi disandang.

Beberapa kerusi seperti Parlimen Shah Alam dan Gombak menjadi tumpuan kerana majoriti pengundiny­a Melayu. Begitu juga bagi yang berkuasa meletakkan calon akan memilih diri sendiri dahulu untuk mendapat jalan selamat.

Beberapa kawasan Parlimen seperti Kubang Pasu, Langkawi di Kedah dan di Putrajaya juga menjadi tumpuan kerana kawasan berkenaan popular disebabkan ramai pengundi Melayu dan dikatakan boleh menang serta mudah menang. Kebanyakan mereka yang bertanding PRU-14 mencari jalan selamat untuk mudah menang di kawasan yang menjadi pilihan, meskipun selera dan perubahan angin pengundi tidak seperti PRU13.

Begitulah politik yang hanya mencari jalan selamat untuk memenangka­n diri sendiri dan tidak berusaha memenangi hati pengundi. Rakyat dan pengundi mesti membuka mata dan minda untuk menghadapi pelbagai karenah politik.

Di media baharu dan sosial, serangan demi serangan dilemparka­n kepada pemimpin parti politik. Pelbagai fitnah, seranah, tohmah dan kata-kata kesat menjadi mainan kepada pemain media berkenaan yang juga orang kuat parti yang bertanding PRU-14.

Acara lompat parti

Justeru, acara berebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini tidak berhenti selagi penamaan calon belum bermula. Dalam politik semua boleh terjadi, acara lompat parti juga berlaku bagi mencari kawasan selamat untuk bertanding.

Retorik politik juga semakin menarik dengan gaya bahasa yang semuanya bertujuan memikat pengundi. Dalam dunia politik, tidak ada jawapan adalah jawapan juga. Oleh itu, rakyat yang juga sebagai pengundi mesti bijak menggunaka­n akal yang bijaksana memilih pemimpin yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Dalam politik juga kemustahil­an bukan rintangan. Hanya kebijaksan­aan pemikiran kita dapat mengatasi dunia politik yang penuh retorik. Pemimpin yang baik bukan hanya ingin berkuasa untuk dirinya dan keluarga. Tetapi pemimpin yang baik dan berwibawa mempunyai visi dan misi untuk terus membela rakyat terbanyak.

Hal berkaitan ekonomi, pendidikan, pembanguna­n dan sosial serta kos sara hidup mestilah menjadi agenda yang terus diperjuang­kan. Inilah yang akan menjadi tumpuan dan perhatian rakyat terutama pengundi dalam PRU14.

Politik sama sahaja di mana-mana tetapi rakyat dan pengundi harus bijak menilai selama lima tahun lepas apa yang telah dilakukan oleh sesebuah parti dan wakil rakyatnya. Jika hanya ingin berebut kerusi dan memanaskan kerusi mereka ini harus ditolak dalam PRU14.

Oleh itu, menjelang PRU14 pelbagai permainan politik akan berlaku. Justeru, rakyat dan pengundi jangan keliru. Sebijak-bijak permainan politik dalam kalangan pemimpin parti politik undi kita adalah penentu.

Prof Dr Mohd Mansor Ismail Penyelidik di Jabatan Perniagaan­tani dan Ekonomi Biosumber,

Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia