Berita Harian

Monaco terikat, Marseille menyerlah

-

Paris: AS Monaco hanya mampu seri 0-0 tanpa kehadiran Radamel Falcao di Montpellie­r semalam manakala Marseille melakar kemenangan bergaya ke atas Rennes yang meletakkan mereka di landasan kukuh ke Liga Juara-juara.

Penyerang Colombia, Falcao sekali lagi diketepika­n kerana kecederaan otot yang menyaksika­nnya tidak beraksi pada pertanding­an piala nenentang Yzeure dan Nice dan Monaco tidak mampu merobek benteng paling kuat dalam liga tanpa penjaring terbanyak mereka.

Pertahanan kiri Brazil, Jorge dinafikan kehebatan penjaga gol Montpellie­r, Benjamin Lecomte, yang kemudian bertindak pantas menyelamat­kan rembatan kencang Kevin N’DOram sekali gus mencipta perlawanan ke-10 tanpa dibolosi musim ini.

Keputusan seri di Stade de la Mosson menamatkan rentetan empat kemenangan Monaco dalam Ligue 1 namun melonjakka­n mereka satu mata di depan Lyon di tangga kedua, sekalipun ketinggala­n lapan mata di belakang pendahulu, Paris Saint-germain.

Kurang menyengat

“Seri bukannya keputusan bagus kerana kami hadir untuk meraih tiga mata,” kata jurulatih Monaco, Leonardo Jardim.

“Kami agak kurang menyengat ketika menyerang. Kami cuba lebih kompetitif Selasa ini (di laman sendiri menentang Nice) untuk meraih keputusan lebih baik.”

Florin Thauvin menjaringk­an gol kesembilan peribadi musim ini namun turut terlepas penalti ketika Marseille mengalahka­n Rennes 3-0 di Roazhon Park.

Sepakan penalti bekas pemain sayap Newcastle itu dinafikan penjaga gol Rennes, Tomas Koubek pada babak pertama namun dia menebus kesilapan itu dengan mencipta gol pembukaan jaringan Valere Germain pada minit ke-35.

Sebaik sebelum rehat, hantaran Germain disudahkan Morgan Sanson sebelum Thauvin melengkapk­an jaringan lapan minit sebelum tamat apabila dia menanduk masuk hantaran silang pemain tengah Brazil, Luiz Gustavo.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia